KUANTAN - Nilai harta berjaya diselamatkan dalam kebakaran di Pahang dianggarkan RM82.2 juta dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding RM129.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, nilai taksiran kerugian akibat kebakaran pula dianggarkan mencecah RM11.2 juta berbanding RM18.9 tahun sebelumnya.
Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 520 kes kebakaran dilaporkan di negeri ini dalam tempoh lima bulan tahun ini.
"Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 289 kes atau 35.7 peratus berbanding 809 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
"Bagi kes kebakaran struktur, berlaku sedikit peningkatan dalam tempoh itu daripada 61 kes tahun lalu kepada 64 kes tahun ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Tamat Kursus dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini pada Selasa.
Dr Wan Mohammad Zaidi berkata, daripada jumlah kebakaran yang dilaporkan tahun ini, tiga kes kematian direkodkan dalam kebakaran rumah manakala hanya satu kes pada tahun lalu.
"Bagi kes kebakaran kenderaan pula, sebanyak 94 kes diterima dari Januari hingga Mei tahun ini berbanding 80 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
"Selain itu, sebanyak 164 kes kebakaran terbuka direkodkan tahun ini iaitu turun sebanyak 236 kes berbanding 400 kes tahun lalu," katanya.
Sementara itu katanya, bagi kes-kes menyelamat, sebanyak 865 panggilan diterima sehingga Mei tahun ini berbanding 1,307 panggilan tahun lalu.
"Kes kemalangan jalan raya pula, sebanyak 164 kes direkodkan tahun ini dengan 41 kematian.
"Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dengan 157 kes melibatkan 26 kematian," katanya.
Tambah beliau, dalam tempoh lima bulan tahun ini sebanyak 11 kes lemas telah diterima dengan kes kematian melibatkan 12 mangsa berbanding 10 kes dengan 16 kematian tahun lalu.
"JBPM Pahang menerima tiga panggilan kes banjir kilat untuk kerja-kerja pemindahan mangsa manakala dua kes diterima melibatkan insiden kepala air dengan satu kematian dilaporkan tahun ini.
"Kami sentiasa bersiap siaga berkaitan kes insiden banjir kilat dan kepala air terutama yang melibatkan kawasan penempatan dan kawasan rekreasi," katanya.
Beliau berkata, kempen kesedaran melalui nasihat, ceramah dan agihan risalah tentang keselamatan kepada orang awam sentiasa dilakukan bagi mengurangkan risiko insiden.