GOPENG - Kerajaan Perak memberi jaminan bekalan ayam di negeri tersebut adalah mencukupi untuk keperluan sara diri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jaminan itu diberikan berikutan terdapat penternakan ayam berskala besar di daerah Manjung.
"Saya dimaklumkan kita ada penternak besar di Perak. Jadi, jaminan bekalan mencukupi untuk sara diri.
"Sekarang di peringkat perbekalan tiada masalah kecuali ada yang sengaja menyorok bekalan itu untuk naikkan harga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Agrofest Raya Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di The Treasure@ Taman Herba Gopeng di sini, pada Selasa.
Menurutnya, sikap penjual yang menyorok bekalan ayam atau barang keperluan disifatkan sebagai mengkhianati rakyat negara.
"Ada kalangan peniaga yang mengambil kesempatan, dia tahu permintaan tinggi namun bekalan kurang. Jadi, dia naikkan harga dengan menyimpan barang itu sehingga diminta pembeli.
"Oleh itu, mereka akan jual barang itu dengan harga yang diminta pembeli. Ini sangat bahaya kerana yang ada duit akan dapat bekalan. Saya minta jangan buat begitu," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk aktiviti penanaman jagung, Saarani berkata, permohonan itu perlu dilakukan dengan saluran yang betul.
"Kita ada tanah mencukupi, tanah TOL atau tanah di bawah pencawang elektrik tetapi permohonan itu perlu ikut prosedur supaya ia boleh diurus dengan baik.
"Oleh sebab itu, permohonan mesti melalui saluran betul dan kita akan proses. Jika sesuai, kita galak mereka melakukan penanaman makanan di tanah berkenaan," katanya.
Media melaporkan kabinet meminta kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah TOL untuk penanaman jagung bagi jangka panjang dalam usaha mengatasi isu bekalan ayam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu berdasarkan pandangan Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam.