Imam maut kemalangan huffaz al-Quran

Iklan
Latifah (kanan) bersama Mohd Zidni (kiri) dan seorang anak perempuannya menunjukkan gambar kenangan Mohd Irfan ketika ditemui di rumahnya di sini pada Selasa.

TANJONG KARANG - Imam Masjid Ar Raudhah Tanjong Karang yang maut dalam kemalangan pada Isnin adalah huffaz al-Quran sejak berusia 20 tahun.

Ibunya, Latifah Ahmad, 65, berkata, Allahyarham anaknya, Mohd Irfan Othman, 32, banyak meluangkan masa mengaji dan hafaz al-Quran di rumah.

Iklan
Iklan

"Arwah memang tidak lekang dengan al-Quran sejak dari kecil lagi dan Alhamdulillah Mohd Irfan hafaz 30 juzuk Quran," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Selasa.

Latifah berkata, Allahyarham Mohd Irfan menamatkan pengajian tahfiz di Darul Quran dan seterusnya menyambung pengajian peringkat ijazah di Mesir.

Iklan

"Arwah memang anak yang baik dan Alhamdulillah semasa proses pengurusan jenazah berjalan lancar dan dipermudahkan.

"Arwah ramai kenalan dan saya terkejut semasa pengebumian jenazah Mohd Irfan terlalu ramai yang hadir untuk solat jenazah," ujarnya.

Iklan

Katanya, kehilangan anak kelima daripada enam beradik itu amat dirasai apatah lagi baharu sahaja melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lalu.

"Arwah biasanya bergilir-gilir tidur di rumah saya dan mentuanya dan kehilangannya amat dirasai, tapi saya reda kerana ALLAH lebih menyayanginya," katanya.

Abang Allahyarham Mohd Irfan, Mohd Zidni Ilman Othman, 47, berkata, dia tidak menyangka kehilangan adiknya buat selamanya.

Katanya, luluh hatinya sebaik mengetahui Mohd Irfan sudah meninggal dunia selepas dihubungi seorang lagi adiknya pada jam 5 petang.

"Saya diberitahu arwah sudah meninggal dunia dan tidak dapat menahan kesedihan kerana arwah seorang yang baik dan selalu mengambil berat hal keluarga terutama ibu dan ayah.

"Memang terasa kehilangan arwah dan kali terakhir jumpa pada Khamis lalu sewaktu saya dan keluarga pulang ke kampung," jelasnya.

Katanya, jenazah Allahyarham Mohd Irfan selamat dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Masjid Baroh, jam 10 malam Isnin.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang imam masjid yang baharu sahaja selesai mengajar di sebuah maahad tahfiz maut kemalangan apabila motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang di sini pada Isnin.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, mangsa berusia 32 tahun yang menunggang Yamaha LC maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.