SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu mengekalkan usaha dalam memodenkan Grid Nasional bagi meningkatkan prestasinya sebagai utiliti pintar.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia bertujuan bagi menjamin kestabilan bekalan dan memacu peralihan tenaga negara menuju Malaysia neutral karbon menjelang 2050.
"Kerajaan, khususnya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) sentiasa bekerja rapat dengan TNB bagi memastikan kestabilan industri tenaga.
"Kita meletakkan keutamaan bahawa rakyat dapat menikmati bekalan berdaya harap, stabil dan pada harga berpatutan.
"Malah sejak sekian lama, rakyat Malaysia berterusan menikmati kadar tarif elektrik antara terendah di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ucapan beliau itu disampaikan ketika Majlis Perasmian Bangunan TNB di MITC, Ayer Keroh Melaka pada Selasa.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Grid Nasional perlu dipersiapkan bagi menerima lebih banyak suntikan Tenaga Boleh Baharu (TBB) agar berupaya menyokong aliran tenaga dua arah dan berselang seli, sambil mengekalkan kestabilan voltan.
Dalam pada itu, menurutnya, TNB semakin agresif dalam menerajui teknologi hijau termasuk pemasangan panel solar, penyimpanan bateri dan mobiliti rendah karbon yang mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik (EV).
Jelasnya, pengurangan jejak karbon melalui teknologi dan inovasi serta mesra alam ini, sejajar komitmen terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai satu
norma baharu yang perlu ada pada setiap syarikat masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, perpindahan TNB Melaka dari Banda Kaba ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menunjukkan komitmen syarikat utiliti itu dalam memberikan perkhidmatan terbaik demi keselesaan rakyat di Melaka.
"Perpindahan lokasi TNB Melaka ini juga membantu merancakkan lagi pertumbuhan kawasan Ayer Keroh serta persekitarannya dengan meningkatkan lagi kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
"Ia sebagai suatu contoh bagaimana penyelesaian yang inovatif memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din.