PENAMPANG - Guru sekolah rendah Frenerietta Sobitun dari daerah Sandakan dimahkota sebagai Unduk Ngadau sempena sambutan Pesta Kaamatan 2022 dalam acara yang berlangsung di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di sini malam ini.
Frenerietta, 25, berjaya mengatasi 43 peserta mewakili kawasan masing-masing dan melayakkan diri sebagai antara tujuh peserta akhir yang memerlukan beliau menjawab dua soalan dengan satu daripadanya menggunakan bahasa ibunda.
Mengenakan pakaian suku kaum Dusun Labuk, anak ketiga daripada lima beradik itu, yang turut disoal mengenai kesan kepantasan kemajuan teknologi terhadap hubungan sesama manusia, memberikan jawapan dengan yakin dalam bahasa ibundanya.
"Saya bersyukur dengan kemenangan ini selepas pertama kali menjejakkan kaki ke KDCA dan kemenangan ini adalah hadiah berharga untuk keluarga saya.
"Harapan saya kepada golongan muda agar berani di depan orang, teruskan bertutur dalam bahasa ibunda supaya tidak lenyap ditelan zaman," katanya kepada pemberita selepas dimahkota sebagai Unduk Ngadau.
Pesta Kaamatan adalah bagi melahirkan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik dan pada asalnya diraikan oleh masyarakat Kadazandusun namun berkembang sebagai pesta yang disambut oleh rakyat Sabah berbilang latar belakang pada Mei setiap tahun serta diakhiri dengan majlis penutupan hari ini.
Unduk Ngadau, yang diadakan sejak 62 tahun lepas, bukan sebuah pertandingan ratu cantik biasa sebaliknya menampilkan budaya serta tradisi rakyat berbilang latar belakang di Sabah dan menjadi acara kemuncak sempena Pesta Kaamatan dengan pemenangnya menggalas pelbagai tanggungjawab antaranya sebagai model peranan terutama dalam kalangan generasi muda.
Frenerietta berkata, kemenangan itu juga akan menjadi cabaran buat diri beliau untuk membahagikan masa antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai Unduk Ngadau dan kerjayanya sebagai guru.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan beliau mengambil alih takhta Unduk Ngadau daripada pemenang tahun lepas iaitu Maya Hejnowska yang memakaikan mahkota gelaran kepada Frenerietta malam ini.
Frenerietta membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai lebih RM120,000 yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R M Jasni dan turut hadir isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Julia Salang.
Tempat kedua dimenangi oleh Esther Marius dari daerah Papar manakala tempat ketiga Deedee Cassandra Dallius dari daerah Ranau dan masing-masing membawa pulang hadiah bernilai lebih RM75,000 serta RM62,000. - Bernama