Minyak masak 5kg cecah RM43

Iklan
Rata-rata harga minyak masak tulen botol seberat 3kg dijual pada harga runcit maksimum ditetapkan kerajaan.

SHAH ALAM - Harga minyak masak sawit botol di pasaran ketika ini semakin mahal sehingga membebankan pengguna.

Susulan keluhan pembaca Sinar Harian, tinjauan wartawan di pasar raya di sini pada Selasa mendapati harga minyak masak botol pelbagai jenama seberat 5 kilogram (kg) dijual antara RM28.60 hingga RM43.50.

Iklan
Iklan

Begitupun, rata-rata harga minyak masak botol seberat 3kg dijual pada harga runcit maksimum ditetapkan kerajaan iaitu RM18.70 manakala bagi botol 2kg RM12.70 dan sekilogram RM6.70.

Kerajaan pada Ogos tahun lalu turut menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen yang dijual dalam botol 5kg iaitu RM29.70.

Iklan
Harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen yang ditetapkan kerajaan.

Seorang pekerja pembersihan dari Lembah Pantai, Kuala Lumpur, Nina Ramawati Amri, 52, berkata, harga minyak masak ketika ini sangat tidak munasabah dan membebankan terutamanya untuk kumpulan bergaji kecil seperti dirinya.

Katanya, bahan tersebut yang sebelum pandemik boleh didapati pada harga sekitar belasan ringgit kini melonjak sehingga lebih RM43.

Iklan
Nina Ramawati

"Tapi mahu tak mahu, kita terpaksa beli juga sebab nak makan. Semua masakan harian kita perlukan minyak,” ujarnya.

Peniaga makanan, Abdul Rani Mohd Radzi, 58, pula berkata, kenaikan harga minyak botol semakin dirasai sejak tiga bulan lepas.

Kenaikan itu ujarnya, tentu memberi tekanan kerana sebagai peniaga, harga jualan tidak boleh dinaikkan sesuka hati agar pelanggan tidak terbeban.

Abdul Rani

"Tambahan pula, hasil jualan kita ketika ini pun masih belum pulih,” katanya yang telah meniaga char kuetiau di Lembah Pantai sejak enam tahun lalu.

Baru-baru ini tular laporan harga minyak masak botol 5kg dua jenama terkenal meningkat kepada RM45 berbanding harga sebelum pandemik sekitar RM30 hingga RM35.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, minyak masak tersebut tidak dikawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana ia kategori minyak masak campuran.