'Saya yakin Acap masih hidup': Rakan

Iklan
Kenangan Khairul Akmal (dua, kiri) mendaki bersama Acap (kiri).

MUAR - Meskipun hilang sejak lima hari, namun rakan Mohd Ashraf Hassan, 29, peserta yang dilaporkan hilang selepas menyertai aktiviti pendakian di Bukit Putih, Gopeng yakin pemuda itu masih hidup.

Khairul Akmal Azit, 34, berkata, rakannya yang lebih mesra disapa Acap itu sememangnya berpengalaman luas dalam mendaki sama ada di gunung mahupun bukit.

Iklan
Iklan

"Kami semua tahu minatnya terhadap aktiviti pendakian ini sehinggakan ada sebilangan rakan menggelarnya ‘orang gunung’. Saya yang pernah mengikuti beliau mendaki mengakui kepantasan dan kecekapan Acap mengetuai aktiviti ini.

"Sebab dalam Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar, kami memang ada satu kumpulan mendaki yang akan dikawal oleh AJK. Acap merupakan salah seorang daripada mereka. Jadi kalau terlibat untuk aktiviti pendaki, Acap mengawal pergerakan kerana dia memang bijak membuka trek baru dan mencari jalan di kawasan bertanah tinggi itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Khairul Akmal yang merupakan pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Parit Bakar di sini, berkata, sepanjang lima tahun mengenali Acap, juruteknologi makmal perubatan di PKD itu turut membuat persediaan rapi untuk program pada Sabtu lepas.

"Saya percaya kalau betul dia sesat di alam nyata, Acap pasti boleh cari jalan keluar. Sebab dia bukan setakat pakai baju terang, malah turut menggunakan jam tangan yang dilengkapi sistem GPS sebagai persediaan untuk dirinya sendiri.

Iklan

"Saya tahu Acap kuat dan yakin dia masih hidup. Meskipun tidak dapat ke sana untuk membantu, namun kakitangan PKD Muar tak pernah putus mendoakan keselamatan Acap selain mengadakan solat hajat buatnya.

"Malah, Pegawai Kanan PKD (Dr Noorhaida Ujang) juga memberikan keizinan kepada kami untuk pergi ke lokasi secara bergilir-gilir kerana faham kebimbangan dan harapan kami sebagai sahabatnya,” katanya.