Benzema bukan biasa-biasa

Iklan
Benzema
PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema dinobatkan Pemain Terbaik Liga Juara-Juara 2021/22 selepas cemerlang mengetuai juara La Liga Sepanyol itu menjulang kejuaraan berprestij kelab bola sepak Eropah itu dan menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak.

Menurut Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), pemain Perancis berusia 34 tahun itu mengungguli anugerah itu kali kelima selepas Real Madrid kendalian Carlo Ancelloti menewaskan Liverpool 1-0 pada perlawanan akhir di Stade de France.

"Benzema juga cemerlang apabila menjaringkan 15 gol dalam 12 perlawanan termasuk hatrik menentang kelab Ligue 1 Perancis, Paris St Germain (PSG) dan jagoan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea di peringkat kalah mati," kata badan induk bola sepak Eropah tersebut.

Sementara itu, rakan sepasukan Benzema, Vinicius Junior berusia 21 tahun yang menjaringkan gol tunggal pada minit ke-59' pula dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Juara-Juara.

Benzema dan Vinicius Junior juga terpilih membarisi Pasukan Terbaik Musim Liga Juara-Juara bersama-sama pemain tengah Real Madrid, Luka Modric dan penjaga gol Thibaut Courtois, yang memainkan peranan utama ketika merealisasikan impian Los Blancos menjulang kejuaraan ke-14 itu.

Sementara itu, naib juara Liverpool kendalian Jurgen Klopp diwakili pemain pertahanan Trent Alexander-Arnold, Virgil van Dijk dan Andy Robertson serta pemain tengah Fabinho.

Penyerang PSG, Kylian Mbappe, pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger dan pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne melengkapkan barisan pemain berkenaan.

INFO

Penjaga gol:

Thibaut Courtois (Real Madrid)

Pertahanan:

Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Antonio Rudiger (Chelsea), Virgil van Dijk (Liverpool), Andy Robertson (Liverpool)

Pemain tengah:

Kevin De Bruyne (Manchester City), Fabinho (Liverpool), Luka Modric (Real Madrid)

Penyerang:

Kylian Mbappe (Paris St Germain), Karim Benzema (Real Madrid), Vinicius Junior (Real Madrid)