KUALA LUMPUR - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan memberikan tiga sebab mengapa gabungan itu perlu mengambil alih semula negara.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, sebab pertama adalah bagi memulihkan kembali negara ini.
"Pada saat kita berhimpun ini, rakyat di luar sana sedang sangat terbeban. Harga barang melambung naik sehingga di luar kemampuan rakyat. Malah, bekalan makanan asas berisiko terputus atau tidak mencukupi.
"Sumber protein kita telah menjadi sangat mahal. Segalanya dari makanan kepada kos kehidupan lain telah menjadi sangat luar biasa dari kemampuan purata rakyat Malaysia.
"Kepercayaan kepada institusi awam terjejas. Iklim pelaburan terus pudar dan perlahan. Segalanya lebih baik dahulu daripada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pembukaan Konvensyen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.
Mohamad menambah, selepas BN ditewaskan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) gagal dalam pentadbirannya.
"Dari semua segi, kita telah merosot, menyusut dan berundur ke belakang dan bila kita menerajui semula kerajaan waktu ini, tangan kita pula terhad dan terikat,” ujarnya.
Mohamad yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menambah, sebab kedua adalah kerana BN mahu mengembalikan kestabilan politik di Malaysia.
"Ketidakstabilan politik dalam tiga tahun telah menjerumuskan Malaysia ke era 20 tahun ke belakang. Bayangkan, jika semua ini berterusan. Malaysia akan menjadi negara, yang terus ketinggalan dan tercorot.
"Kita mesti pasakkan dalam sanubari setiap rakyat Malaysia untuk tidak terus bereksperimen dengan politik negara.
"Mereka mesti membuat keputusan dengan rasional dan objektif, bukan emosional dan terbawa-bawa dengan sentimen,” katanya.
Menurutnya, sebab ketiga BN perlu mengambil alih semula negara ini adalah bagi mahu mencipta masa depan untuk generasi akan datang.
"Mentadbir negara, bukan setakat menguruskannya, untuk kemandirian hari ini tetapi tentang membina asas- asas kelangsungan hari esok.
"Kita bukan hanya mewarisi Malaysia ini dari generasi lepas tetapi turut meminjamnya dari generasi akan datang.
"Maka kita mesti menyingkirkan segala noda dan kesalahan generasi sedia ada dan menyediakan landasan lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, BN perlu tampil dengan imejnya yang revolusional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
"Yang ‘cool but serious and promising’. Yang boleh menerbitkan rasa percaya dalam kalangan rakyat, dan yang boleh menyebabkan rakyat memberikan BN suatu peluang untuk membuktikan bahawa BN benar- benar sebuah idea yang revolusional,” ujarnya.