'Menang PRN di tiga negeri bukan jaminan boleh perintah semula negara'

Iklan
Perwakilan yang hadir pada Konvensyen Barisan Nasional ke 48 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus leka dibuai mimpi boleh memerintah semula negara hanya kerana BN sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa yang berlaku, dalam semua kemenangan pilihanraya kecil dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, bukan jaminan bahawa BN akan pasti menang, dan menguasai kerajaan dengan mudah.

Iklan
Iklan

"Jika kita beranggapan sedemikian, maka saya tegaskan hari ini bahawa, anggapan seperti itu bukan sahaja salah malah berbahaya dan berisiko kepada BN,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Ulangtahun BN ke-48 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini pada Rabu.

Beliau turut menyatakan beberapa sebab kritikal tanggapan sebegitu perlu dibuang kerana pasca 2018, adalah era yang berbeza sama sekali.

Iklan

"Sebenarnya bukan sahaja kepada BN sebagai sebuah parti politik. Tetapi kepada Malaysia, malah kepada dunia secara keseluruhan.

"BN telah menjadi sangat mengecil, bukan sahaja dari segi jumlah ahli parlimen, tetapi juga jumlah parti komponen, negeri yang kita kuasai, malah sokongan popular masyarakat awam," katanya.

Iklan

Jelasnya, keadaan ini bukan ramalan tetapi realiti yang kesemuanya boleh disandarkan secara jelas kepada fakta dan data.

"Jadi, adalah sangat penting untuk BN, berpijak di bumi yang nyata, dan menerima realiti bahawa kemenangan tidak akan datang bergolek. Ia mesti kita usahakan, dengan usaha yang gigih dan gerak kerja yang strategik,” katanya.

Mohamad berkata, BN mesti menerima hakikat bahawa jenama sahaja tidak akan memenangkan bahkan pengalaman memerintah sudah tidak menjadi kelebihan yang mutlak.

"Ia tidak akan meyakinkan semua pengundi secara automatik. BN harus diperkenalkan semula, kepada masyarakat dengan tawaran-tawaran dan penampilan baharu,” katanya.

Beliau berkata, 48 tahun, amat wajar BN ‘reinvent’ jenama BN atau sekurang-kurang ‘recalibrate’ apa yang kita ada.

"Siapa kita, ke mana kita mahu bawa Malaysia, apa lebihnya kita dengan yang lain. Semua ini adalah perkara yang mesti difikirkan dan dihidupkan kembali dengan nafas baharu,” katanya.