KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang menyediakan pelbagai inisiatif sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara inisiatif tersebut termasuk bantuan tunai RM100 kepada setiap murid tahun satu di seluruh negeri bagi sesi persekolahan tahun 2022.
Menurutnya, seramai 23,617 murid tahun satu mendapat manfaat melalui inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM2.36 juta itu.
"Kerajaan negeri turut melaksanakan Pahang Pride Kid 2022 melalui sumbangan RM200 kepada setiap bayi yang lahir di Pahang tahun ini melibatkan peruntukan RM5 juta.
"Selain itu, melalui Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids), kerajaan negeri telah memperuntukkan RM115,200 untuk pelaksanaan Insentif Skim Galakan Sekolah-Sekolah Negeri Pahang," katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2022 melalui Facebooknya pada Rabu.
Wan Rosdy berkata, golongan kanak-kanak merupakan generasi yang perlu diberi perhatian dan sokongan tidak berbelah bahagi.
"Justeru, menjadi tanggungjawab kerajaan Pahang untuk sentiasa mengambil berat dan cakna terhadap golongan itu di negeri ini.
"Inisiatif diberikan itu sekadar beberapa contoh keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan dan kesejahteraan anak-anak negeri Pahang,"katanya.
Tambah beliau, melalui usaha itu diharap mampu menjadi nilai tambah dalam usaha membina kehidupan sihat dan masa depan yang lebih baik untuk golongan tersebut.