SEPANG - Berselindung di sebalik premis rumah kedai dan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) antara tindakan sindiket perlombongan bitcoin yang dikesan menerusi serbuan di empat premis di sekitar Kota Warisan di sini, pada Rabu.
Kegiatan perlombongan bitcoin ini dikesan menerusi risikan yang dijalankan Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak Disember lalu.
Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan Penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga, Ahmad Tazmin Mohd Noordin berkata, kegiatan perlombongan bitcoin ini dikesan setelah pihaknya kerap kali menerima aduan berkaitan gangguan elektrik di sekitar kawasan berkenaan.
"Perlombongan bitcoin menggunakan bekalan elektrik yang tinggi sekali gus mengakibatkan berlakunya gangguan dan aduan berkaitan gangguan elektrik banyak kali diterima.
"Siasatan dan risikan yang dijalankan berjaya membongkar kegiatan perlombongan bitcoin melibatkan empat premis di sekitar kawasan ini," katanya dalam sidang media di Kota Warisan di sini, pada Rabu.
Katanya, jumlah kerugian keseluruhan yang dialami TNB sebanyak RM720,000.
"Berdasarkan siasatan dijalankan untuk setiap satu premis, jumlah kerugian akibat kecurian elektrik kira-kira RM30,000 melibatkan anggaran tempoh selama enam bulan," katanya.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pihak empunya premis mengetahui penyewanya menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin ini.
"Pemilik premis diingatkan agar melakukan kajian mengenai tawaran sewa oleh orang persendirian atau mana-mana syarikat untuk menyewa premis mereka.
"Sekiranya pemilik premis mendapati premis yang disewakan mereka menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin ini, mereka perlu segera melaporkan kepada TNB atau Suruhanjaya Tenaga agar kegiatan ini dapat dihentikan segera," katanya.
Ujar Ahmad Tazmin, operasi bersepadu yang dijalankan ini melibatkan Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 37 (1), Seksyen 37 (3), dan Seksyen 37 (14), Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).
"Orang ramai diingatkan agar tidak mengganggu pepasangan meter atau elektrik milik utiliti dan melaporkan kepada Suruhanjaya Tenaga atau TNB sekiranya mendapati berlakunya apa-apa kejanggalan pada meter atau terdapatnya sambungan haram," katanya.