Pasangan muda teruja dipilih tunaikan haji

Iklan
Mohd Shaiful dan isterinya, Nuurhidayah mengemas beg dan menyediakan barang keperluan sebagai persediaan sebelum berangkat menunaikan haji tidak lagi.

BAYAN LEPAS - Dipilih mengerjakan ibadat haji pada usia muda dianggap peluang keemasan buat pasangan suami isteri dari Bayan Lepas di sini untuk menunaikan rukun Islam yang kelima pada tahun ini.

Khabar gembira yang disampaikan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 17 Mei lalu membuatkan Mohd Shaiful Jamalamree, 37, dan isterinya Nuurhidayah Shamsudin, 34, teruja dan bersyukur kerana impian mereka untuk menjejakkan kaki di tanah suci Makkah bakal tertunai tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

Bagi mereka, peluang menjadi tetamu ALLAH SWT pada usia muda dalam keadaan diri masih sihat dan bertenaga membolehkan mereka melaksanakan ibadat dan semua rukun haji dengan sebaiknya.

Mohd Shaiful yang bekerja sebagai operator kilang di Bayan Lepas berkata, beliau tidak menyangka terpilih untuk mengerjakan ibadah haji dengan ditemani isterinya sedangkan sebelum ini TH menetapkan gilirannya pada tahun 2159.

Iklan

"Selepas disahkan nama tersenarai sebagai bakal jemaah haji pada tahun ini, kami segera melakukan persiapan termasuk mengikuti kelas ibadah haji yang dilakukan melalui secara dalam talian.

"Selain itu, semua proses dokumentasi seperti memperbaharui pasport dan mendapat suntikan vaksin telah dilakukan. Kini kami hanya menunggu pengesahan tarikh berangkat ke tanah suci dari Tabung Haji," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman mereka di sini pada Rabu.

Iklan

Pasangan suami isteri yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga ini sebelum ini merancang untuk menunaikan umrah pada tahun depan, namun dipilih mengerjakan ibadah haji pada tahun ini sebagai rezeki paling istimewa buat mereka.

Sementara itu, Nuurhidayah yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta berkata, sebelum ini beliau pernah ditawarkan untuk mengerjakan haji pada tahun 2011, namun terpaksa ditolak berikutan ketika itu masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Lumut, Perak.

Bagaimanapun katanya, tawaran yang diterima kali ini tidak akan disia-siakan kerana dapat menunaikan ibadat itu bersama suami tersayang selain berhajat mahu berdoa di tempat paling mustajab.

"Sepanjang empat tahun kami berkahwin, kami masih belum dikurniakan cahaya mata.

"Selain niat utama kami mendoakan ibu bapa dan keluarga, kami juga ingin mendoakan supaya ALLAH SWT mengizinkan kami mendapatkan cahaya mata suatu hari nanti," katanya.

Dalam pada itu, Nuurhidayah turut menasihatkan ibu bapa dan generasi muda agar segera mendaftarkan diri dengan Tabung Haji dan menanam cita-cita untuk menunaikan ibadah haji ketika usia muda.

Katanya, dengan kudrat yang masih kuat dan kesihatan yang baik pastinya membolehkan jemaah haji muda dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna.