Lima maut selepas bertembung dengan bas ekpres

Iklan
Anggota keselamatan berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan dilokasi kejadian. Foto: Ihsan bomba

RAUB - Sepasang suami isteri bersama anak angkatnya berusia enam tahun antara lima mangsa maut selepas terbabit dalam kemalangan di KM325, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Kampung Jeram Busu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kesemua mangsa menaiki kereta kenderaan jenis Proton Pesona terbabas lalu bertembung dengan bas ekpres di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah,Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Mohd Sajury Abdullah, 63, dan isterinya, Sobariah Haron, 54, serta anak angkat mereka, Uwais Al Qumey, 6, berasal dari Klang, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dua lagi penumpang iaitu anak saudara mereka, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, yang merupakan penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor berasal dari Melor, Kelantan, cucu saudara mangsa, Muhammad Faezuan Nor Izzudin, 27, berasal dari Bachok, Kelantan turut maut di lokasi kejadian.

Iklan
Sebuah kedai rosak teruk akibat dari kemalangan terbabit. Foto: Ihsan bomba

"Siasatan awal mendapati kereta tersebut terbabas masuk ke laluan bas terbabit yang datang dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur menyebabkan bas itu tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta berkenaan,"katanya lagi.

Menurutnya, kereta itu terbabas ke kiri jalan manakala bas terbabit merempuh dua lot kedai berhampiran.

Iklan

"Kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raub untuk dibedah siasat.

"Manakala pemandu utama dan pemandu kedua bas bersama 44 penumpang tidak mengalami kecederaan,"jelasnya.