Mahkamah Tinggi batal keputusan lepas tanpa bebas Long Tiger

Iklan
Abdul Hamim Ab Hamid atau Long Tiger.

MUAR - Keputusan lepas tanpa dibebaskan lelaki etnik Rohingya, Long Tiger terhadap kes peras ugut oleh Mahkamah Majistret Tangkak pada 17 Mei lalu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini melalui semakan kehakiman yang difailkan pihak pendakwaan.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar menetapkan perkara itu kepada tertuduh atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 33, selepas mendapati berlaku kekhilafan terhadap keputusan terdahulu yang dibuat.

Iklan
Iklan

Perintah berkenaan dibuat berikutan kematian mengejut saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem Othman pada 23 Mac lalu.

Keputusan berkenaan turut memerintahkan perbicaraan diteruskan di Mahkamah Majistret Tangkak dan mengarahkan Abdul Hamim hadir di mahkamah sama pada Ahad ini bagi penetapan tarikh sambung bicara.

Iklan

Sambung perbicaraan itu di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak dengan memanggil saksi pendakwaan lain.

Abu Bakar juga tidak membenarkan jaminan terhadap Long Tiger ketika keputusan semakan kehakiman dibacakan.

Iklan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali dan Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam, Puteri Aisyah Zahirah Zakaria.

Long Tiger sebelum itu tiba di Mahkamah Tinggi di sini pada jam 9 pagi dengan dikawal ketat oleh polis.

Pada 17 Mei lalu, Mahkamah Majistret Tangkak memberikan perintah pelepasan bukan pembebasan terhadap Long Tiger yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Majistret Zaridah Abdul Jaapar mengeluarkan perintah itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan ekoran kematian mengejut Luqman Hakeem pada pertengahan perbicaraan.

Pada 25 Mei lalu, pihak pendakwaan diwakili Muhammad Syafiq, Muhammad Qaiyyum dan Nor Syamilah Jalaluddin membuat permohonan semakan kehakiman susulan keputusan dibuat Mahkamah Majistret Tangkak.

Ini berikutan Majistret Zaridah Abdul Jaapar membuat perintah itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan ekoran kematian mengejut saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem pada pertengahan perbicaraan.

Pada 20 Januari lalu, Long Tiger dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak kerana melarikan diri daripada tahanan mahkamah pada 15 Disember 2021.

Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Selain itu Long Tiger kini berdepan perbicaraan bagi kes mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah dan ugutan bunuh.

Dia juga masih berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 kanun sama kerana merogol di Mahkamah Muar.