Pemandu lori ugut anak Datuk didenda RM6,000

Iklan
Gambar hiasan

PETALING JAYA - Padah mengugut dua wanita termasuk seorang anak Datuk, pemandu lori didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

R Thiruselvam, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dan sepupunya, dengan kata-kata mahu `memotong' bapa wanita tersebut.

Iklan

Kesalahan dilakukan di sebuah kedai makan di Taman Kinrara, Puchong di sini pada jam 2.30 pagi, 10 November 2019.

Dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Iklan

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika mangsa keluar membeli makanan dengan kakak sepupunya, mereka didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali.

Lelaki berkenaan kemudiannya mengugut mahu `memotong' bapa mangsa yang juga seorang Datuk.

Mendengar ugutan tersebut, kedua-dua wanita berkenaan melarikan diri dan memasuki kereta dengan segera.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz memohon agar tertuduh dijatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam, Kailash Sharma merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan insaf atas perbuatan yang dilakukan.

"Dia perlu menanggung ibu bapanya, malah ibunya baru sahaja menjalani pembedahan mata," katanya.