Kemelah berasal dari 'come-lah‘

Iklan
Azman (kanan) bersama Pengurus Felda Kemelah, Ishak Hassan di hadapan Pejabat Felda Kemelah.

SEGAMAT - Felda Kemelah bukan nama asing dalam kalangan peneroka dengan keluasan penempatan selain aktiviti pertanian yang rancak menjadikan kawasan pertanian itu antara penyumbang utama dalam industri Felda.

Sejak ditubuhkan pada 1961, Felda Kemelah yang berpusat di bawah Parlimen Sekijang terus ceria dengan pelbagai aktiviti dan projek pembangunan.

Iklan
Iklan

Ia dibuktikan dengan pemandangan indah tatkala melangkah masuk ke gerbang utama terletak 3km dari Jalan Segamat- Labis yang menggamit pemandangan sesiapa sahaja.

Come-lah cetus nama Felda

Bagaimanapun, pasti ramai tidak menyangka di sebalik keriuhan dan suasana damai di Felda Kemelah, terdapat kisah menarik berjaya mencetuskan nama kawasan ini.

Iklan

Menurut ketua kampung, Azman Abd Aziz, penduduk terdahulu mendakwa nama Kemelah tercetus melalui perkataan ‘come-lah’ bermaksud datanglah.

"Kemelah diperolehi daripada sebutan ‘come-lah’ yang sering dituturkan oleh Sir AL Gwybe. Beliau ini merupakan Pengurus Felda Kemelah sekitar tahun 1960-an.

Iklan

"Disebabkan pada ketika itu sambutan penduduk tempatan untuk menjadi peneroka Felda tidak begitu tinggi, AL Gwybe sentiasa berusaha bertemu orang kampung di sekitar Segamat termasuklah Muar dan Batu Pahat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Azman, ketika bertemu penduduk kampung, AL Gwybe akan mempelawa penduduk menjadi peneroka di situ dan perkataan yang sering disebutnya ialah 'come-lah'.

Oleh sebab perkataan loghat Inggeris-Melayu itu disebut berulang-ulang, maka lama-kelamaan tercetuslah nama Felda Kemelah.

Sungai Kemelah berasal dari nama gadis

Pun begitu, terdapat versi berbeza bagi sesetengah pihak apabila mendakwa Felda Kemelah diambil bersempena nama Sungai Kemelah.

"Ada yang mengatakan nama Sungai Kemelah diperolehi daripada nama seorang gadis yang merupakan masyarakat orang Asli. Dikatakan Kemelah ini sering membasuh pakaian di kawasan muara sungai itu.

"Diceritakan bahawa Kemelah ini datang dari perkampungan orang asli berhampiran kawasan di sini. Lantaran kerap berkunjung ke sungai terbabit, maka ia dinamakan sebagai sungai Kemelah sekali gus mencetuskan nama Felda ini,” katanya.

Ditubuhkan bermula 133 penduduk

Dalam pada itu, menyingkap sejarah awal penubuhan Felda Kemelah, Azman berkata, hanya 133keluarga yang berjaya mendapat tempat di Felda ini.

Walaupun begitu, kesungguhan dan kesabaran peneroka telah merubah keadaan Felda Kemelah yang dahulunya dikenali sebagai Felda Tenang Station.

Bagaimanapun, menurut Azman, kini Felda Kemelah terus subur dengan aktiviti pertanian berasaskan sawit dan kini telah menempatkan seramai 2,155 penduduk.

"Felda Kemelah kini lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk sekolah, masjid, klinik kesihatan, pusat internet termasuklah dewan serbaguna dan padang awam.

"Malah, aktiviti penduduk juga padat apabila kita kerap menjayakan program melibatkan masyarakat di sini termasuk mengalu-alukan kedatangan pihak luar.

"Selain menjadi tumpuan orang luar yang ingin mengetahui suasana Felda Kemelah, kawasan ini juga turut mencuri perhatian beberapa penuntut IPTA apabila ada kalangan mereka yang memiliki kampung ini untuk kajian tugasan mereka,” katanya.