Lesap RM94,450 diperdaya Macau Scam

Iklan
Seorang lelaki mengalami kerugian hampir RM95,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pekerja pejabat pos dan pegawai polis. - Gambar hiasan

TELUK INTAN - Seorang lelaki mengalami kerugian hampir RM95,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pekerja pejabat pos dan pegawai polis.

Mangsa berusia 32 tahun dan bekerja sebagai pelayan restoran di Singapura itu hanya menyedari diri tertipu selepas membuat 10 kali pemindahan wang ke atas enam akaun bank berbeza sejak minggu lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemindahan wang berkenaan dibuat ketika mangsa pulang bercuti di kampungnya di Teluk Intan antara 25 Mei hingga 29 Mei lepas.

Menurutnya, mangsa sebelum itu telah dihubungi seorang lelaki tidak dikenali yang mengaku bekerja di pejabat pos mengatakan terdapat satu bungkusan ke atas nama mangsa.

Iklan

"Mangsa pada awalnya menafikan tentang bungkusan itu, namun panggilan berkenaan disambungkan kepada seorang lelaki mengaku sebagai Sarjan Chong mendakwa mangsa merupakan suspek utama melakukan macau scam.

"Perbualan mangsa kemudiannya disambung kepada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Edward kononnya dapat membantu menyelesaikan perkara itu," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, sindiket terbabit telah mengugut untuk menangkap mangsa atas kesalahan tersebut dan meminta mangsa membuat pembayaran sekiranya mahu kes selesai.

Katanya, disebabkan mangsa takut akan ditangkap atas kesalahan dinyatakan, mangsa bersetuju dengan sindiket untuk selesaikan kes berkenaan.

"Mangsa telah membuat pemindahan sebanyak 10 kali dengan jumlah keseluruhan RM94,450.

"Kesemua pemindahan wang tersebut dibuat mangsa kepada enam akaun keldai yang diberikan oleh pihak sindiket," katanya.