Tak sempat serah buku gergasi isu terowong dasar laut

Iklan
Chin Woon ketika berada di luar bangunan DUN Pulau Pinang pada Selasa.

GEORGETOWN - Hasrat seorang pemimpin MCA Pulau Pinang untuk menyerahkan replika buku gergasi berkaitan terowong dasar laut kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tidak kesampaian selepas dihalang polis pada Rabu.

Tindakan dilakukan pihak berkuasa itu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sebelum mengarahkan Ketua Biro Gerakan Masyarakat Sivil MCA Pulau Pinang, Cheah Chin Woon untuk tidak berada berhampiran bangunan DUN dan melakukan kekecohan.

Iklan
Iklan

Chin Woon berkata, beliau hanya mahu menyampaikan replika buku berjudul 'Kos Paling Mahal RM305 juta Kajian Kebolehlaksanaan Terowong Dasar Laut dan Tiga Projek Lebuh Raya' kepada Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor.

"Buku ini disediakan bagi mengajak orang ramai berfikir mengenai apa yang boleh dilakukan dengan jumlah wang terbabit.

Iklan

"Dengan nilai RM305 juta itu, kita boleh bina banyak rumah kos rendah dan mampu milik untuk rakyat tetapi, kerajaan negeri bazirkan hanya untuk kajian kebolehlaksanaan projek.

"Saya adalah seorang akauntan dan saya tahu nilai ini adalah sangat tidak masuk akal. Mengapa ia terlalu mahal?” katanya ketika ditemui di luar bangunan DUN di sini pada Rabu.

Iklan

Mac lalu, kerajaan negeri mengumumkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang akan diteruskan selepas lapan tahun kajian kebolehlaksanaan projek itu dimulakan.

Projek itu dianugerahkan pada syarikat Consortium Zenith BUCG (CZBUCG) pada 2013 dan draf laporan kajian kebolehlaksanaan itu telah dimulakan sejak 2014.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

PIP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.