KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bagi memastikan negara stabil dan rakyat sejahtera, Barisan Nasional (BN) perlu terbuka untuk menjalinkan kerjasama mahupun menerima sesiapa sahaja, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, ia selagi mana mereka menerima prinsip BN yang berteraskan kesederhanaan dan berpaksikan kepada keikhlasan untuk membela rakyat.
"BN mesti bersifat inklusif dan lebih terbuka. Demi memastikan negara stabil dan rakyat sejahtera, BN perlu terbuka untuk menjalinkan kerjasama mahupun menerima sesiapa sahaja.
"...selagi mana mereka menerima prinsip BN yang berteraskan kesederhanaan yang berpaksikan kepada keikhlasan untuk membela rakyat dan kesetiaan kepada segala pasak negara,” katanya.
Perkara itu merupakan salah satu lima langkah yang dikemukakan Ahmad Zahid dalam mewajahkan semula BN semasa ucapan dasar pada Konvensyen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.
Ahmad Zahid menambah, langkah kedua yang dikemukakan adalah BN perlu bersedia untuk keluar daripada kerangka lama dari segi formula pengagihan kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, langkah ketiga adalah dengan menampilkan lebih ramai muka-muka baharu sebagai wajah hadapan BN.
"Kita telah membuktikan 87 peratus muka baharu di Melaka dan 79 peratus di Johor telah menangkap imaginasi pengundi untuk kembali bersama BN.
"Berdasarkan rekod dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini, di kawasan muka-muka baharu yang ditampilkan, kita menang di semua saluran muda termasuk saluran pengundi baharu berumur 18 hingga 25 tahun,” jelasnya.
Tambahnya, langkah keempat adalah dengan menawarkan agenda pembaharuan dan pembaikan bagi memperkasakan lagi tatakelola, tadbir urus dan ketelusan dalam pentadbiran.
Menurutnya, perkara itu termasuklah memastikan institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang tidak lagi dicemari dengan agenda untuk membunuh seteru politik.
"Sebagaimana yang berlaku di zaman Pakatan Harapan (PH) seperti mengeksploitasi institusi peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehinggakan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga daripada kalangan pemimpin politik,” ujarnya.
Presiden UMNO itu berkata, langkah kelima adalah dengan mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan asal untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
"Dengan matlamat menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan rantau Asia Tenggara, agihan ekonomi yang saksama, memperhebatkan pelbagai bantuan kepada rakyat berasaskan orientasi ‘need-based’ dan bukannya ‘race-based’, pengurusan ekonomi yang mampan, lebih telus dan berpandukan tadbir urus yang baik bagi merancakkan kembali pertumbuhan,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, wajah semula BN ini juga tidak akan sama sekali memudaratkan formula asas gabungan itu yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, prinsip kesederhanaan, toleransi dan integrasi di samping nilai moral serta etika yang tinggi.
Sementara itu mengulas mengenai tarikh pilihan raya, Ahmad Zahid berkata, pihaknya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berbincang mengenai perkara terbabit.
"Perdana Menteri sudah sebut beliau akan bincang dengan lima tertinggi,” ujarnya.
Menurutnya, BN juga sudah bersedia dan bersiap siaga bagi menghadapi PRU15.