SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan sebanyak 32 kerusi Parlimen dalam keadaan kritikal sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pas perlu berhadapan Pakatan Harapan (PH) secara tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Menurutnya, perundingan mengenai beberapa kerusi sudah memadai sebagaimana pernah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Muafakat Nasional (MN) dulu.
"Ada 32 kerusi Parlimen yang kategori ini, nanti saya akan senaraikan kerusi-kerusi tersebut di ruang yang lain.
"Jika dapat berunding beberapa kerusi pun sudah cukup sebagai jambatan perhubungan antara Pas dan UMNO kerana itulah harapan ahli bawahan di kedua-dua.
"Ini adalah pilihan paling akhir untuk melihat kedua-dua parti duduk bersama sebagaimana pernah dibentangkan oleh Jawatankuasa Teknikal MN dulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, agenda MN mungkin tidak dapat lagi diteruskan berikutan kesilapan dalam pengurusan bersama gabungan parti itu.
"Muafakat Nasional mungkin tidak dapat lagi berjalan menurut format asal yang dicita-citakan disebabkan kesilapan dalam pengurusan bersama MN,” ujarnya.