PETALING JAYA - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan kutipan zakat fitrah secara dalam talian akan mengalami penurunan apabila pembayaran secara fizikal menerusi amil dilaksanakan semula tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, jumlah penurunan dijangka kurang daripada 10 peratus berbanding jumlah kutipan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM33 juta.
"Tahun lepas kita membuat kutipan zakat fitrah sebanyak RM33 juta secara umumnya dan tahun ini kita menjangkakan ada sedikit pengurangan, ini sebelum data sah dikeluarkan iaitu kurang sebanyak RM2 juta atau RM3 juta.
"Kami melihat penurunan itu berlaku berkemungkinan faktor rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing pada tahun ini lebih awal.
"Jadi ramai mengambil peluang balik kampung kerana sudah lama tidak pulang dan mereka menunaikan tanggungjawab menunaikan zakat fitrah menerusi amil di kampung masing-masing," katanya.
Mohd Sabirin berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Mesra Aidilfitri LZS di Dewan Serbaguna Tengku Ampuan Rahimah di USJ 1, Subang Jaya di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penurunan itu bagaimanapun tidak banyak kerana ramai yang masih menunaikan tanggungjawab pembayaran zakat fitrah secara dalam talian di negeri berkenaan tahun ini.
"Malah kita juga menjangkakan konsep pembayaran zakat fitrah secara 'fast payment' dan selamat ini akan menjadi pilihan utama untuk generasi baharu pada masa-masa akan datang," katanya.
Sepanjang Ramadan tahun ini, selain platform pembayaran dalam talian, LZS turut melantik seramai 2,754 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor untuk mengutip zakat berkenaan.