LANGKAWI - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mempelawa agensi-agensi berkaitan untuk bekerjasama dengannya bagi meningkatkan sumbangan kepada bidang ilmu kelautan dan keselamatan maritim negara.
Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar justeru berkata penyertaan UMT dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 diharap dapat menjadi platform bagi mana-mana pihak menjalin kerjasama dengan UMT untuk mencapai matlamat itu.
"Kita mempunyai makmal di lautan iaitu kapal penyelidikan RV Discovery yang turut serta dalam LIMA kali ini...ia satu-satunya aset maritim yang membuat penyelidikan dalam bidang kelautan dan maritim, di samping aset-aset kapal ketenteraan bagi tujuan keselamatan maritim dan menjaga kedaulatan negara seperti Tentera Laut Diraja Malaysia.
"Jadi kita mahu LIMA 2019 ini menjadi titik pertemuan antara menjadi platform kepada pihak industri untuk jalinan kerjasama supaya kita sama-sama dapat memberi manfaat dalam bidang berkaitan sekali gus dapat memberi ruang pekerjaan kepada graduan-graduan kita pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada pameran itu yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini.
Nor Aieni berkata ini penyertaan kali kedua RV Discovery dalam LIMA dan bagi edisi kali ini ia telah membuat pelayaran saintifik menerusi dua laluan maritim, Laut China Selatan dan Selat Melaka, bermula di Kuala Terengganu pada 13 Mac lepas dan berlabuh di Tanjung Lembong, Pulau Langkawi, 22 Mac lepas.
Ekspedisi yang disertai 25 saintis dan penyelidik itu, katanya, telah melalui lebih 45 kawasan persampelan dan sampel-sampel berkenaan akan dibawa ke makmal bagi tujuan pegumpulan data dan akan dibukukan bagi rujukan umum dan pihak industri.
Pelayaran bersejarah itu, katanya, turut mengiktiraf peranan saintis wanita dalam bidang kelautan dengan menampilkan Pengerusi Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT, Dr Roswati Md Amin sebagai Ketua Pelayar bagi ekspedisi itu.
Fokus kajian Dr Roswati dan pasukannya dalam pelayaran itu adalah mengkaji kesan pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim terhadap hidupan marin dan mengkaji terumbu karang serta ikan karang di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan termasuk lokasi utama di Pulau Perak, Kedah.
Dalam pada itu urusetia ekspedisi berkenaan, Dr Hasrizal Shaari berkata hasil kajian daripada proses persampelan yang dijalankan 25 saintis dalam pelayaran itu akan diterbitkan.
"Kita akan cuba ringkaskan kepada masyarakat apa yang berlaku terhadap persekitaran marin di dua laluan tersebut melibatkan bidang biologi, kimia dan geologi...ia merupakan pakej lengkap bagi pihak berkaitan sama-sama mencari penyelesaian kepada isu tersebut," katanya. - Bernama