Kerajaan henti subsidi kepada penternak ayam mulai 1 Julai: PM

Iklan
Ismail Sabri. - Foto Rosli Talib

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menghentikan bayaran subsidi kepada penternak bermula 1 Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ramai dalam kalangan penternak tidak menuntut bayaran subsidi dan pelbagai isu dibangkitkan.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, mulai 1 Julai nanti kita tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak, tetapi kita akan berikan terus kepada rakyat yang memerlukan," katanya ketika berucap pada Majlis Konvensyen Ulangtahun BN ke-48 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini pada Rabu.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada rakyat terutama golongan B40.

Iklan

"Langkah itu diambil untuk pastikan bebanan kenaikan harga tidak terlalu dirasai kerana ada sumbangan tunai oleh kerajaan.

"Di Malaysia harga apapun boleh naik, tetapi jangan harga ayam. Kalau dibiarkan harga diapungkan, harga ayam ketika ini boleh mencecah RM12 sekilogram, tetapi dalam usaha untuk pastikan rakyat tidak terbeban, kerajaan beri subsidi kepada penternak untuk kekal harga sebanyak RM8.90. Untuk ini kerajaan berbelanja sebanyak RM720 juta,” katanya.

Iklan

Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) akan mengumumkan mekanismenya nanti.

"Kerajaan juga menggalakkan industri agromakanan ini dipergiat, supaya kita semua makanan terlibat dalam industri ini termasuk memelihara ayam, menanam jagung untuk makanan ayam dan sebagainya.

"Untuk itu, kerajaan menubuhkan Tabung Agro makanan berjumlah RM500 juta dengan pemberian pinjaman kepada pemain-pemain industri agromakanan,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan juga akan mengenal pasti pertubuhan peladang dan koperasi-koperasi yang terlibat dalam projek agromakanan ini untuk dibantu dari segi kewangan.

"Kerajaan juga mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan juga ikan serta sedang mengkaji insentif cukai untuk diberikan kepada pemain industri agromakanan," katanya.

Sebelum ini juga Ismail Sabri berkata, kerajaan juga telah menyekat eksport ayam ke luar negara sebanyak 3.6 juta sebulan kerana yang penting bagi kita ialah rakyat kita sendiri.

"Kita tidak mahu eksport itu menyebabkan bekalan berkurangan dan yang menjadi mangsanya adalah rakyat kita,” katanya.