Tukar bilik hotel setiap hari

Iklan
Seramai 19 wanita warga asing ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran di dua hotel malam tadi.

GEORGETOWN - Seramai 19 wanita warga asing ditahan di dua hotel di Jalan Rangoon di sini kerana terlibat dengan aktiviti pelacuran dengan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Modus operandi yang digunakan adalah dengan menempah masuk lima hingga enam bilik hotel di atas satu nama untuk melakukan kegiatan tidak bermoral tersebut.

Iklan
Iklan

Mereka dipercayai akan menukar bilik hotel setiap hari bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang ditahan adalah warga Thailand seramai 15 orang, tiga dari Myanmar dan seorang dari Laos berusia di antara 20 hingga 35 tahun.

Iklan

Menurutnya, mereka ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari jabatan imigresen yang melancarkan Ops Gegar yang diadakan di dua lokasi malam tadi.

Beliau berkata, tiada pelanggan ditahan sebaliknya pihaknya menjumpai wang tunai, pelbagai kondom yang baru digunakan dan dadah jenis syabu dipercayai milik pelanggan.

Iklan

"Mereka ini didapati telah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk melakukan kegiatan pelacuran ini. Berdasarkan dokumen yang diperiksa, mereka masuk ke negara ini melalui jalan darat iaitu melalui Changlun dan Bukit Kayu Hitam.

"Jika dilihat dari dokumen yang dirampas, dari November 2018 hingga bulan ini, kekerapan mereka masuk ke negara ini adalah sebulan dua kali.

"Mereka akan masuk ke sini selama dua minggu, selepas itu keluar semula melalui Changlun ke Sadao untuk cop pas masuk dan kemudiannya mereka akan masuk ke sini semula," katanya ketika ditemui selepas operasi malam tadi.

50 daripada 137 warga asing yang diperiksa telah ditahan kerana pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, kesemua wanita berkenaan disiasat mengikut Perkara 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menjalankan kegiatan pelacuran dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Tambahnya, sehubungan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengkaji kaedah yang sesuai terhadap pelancong luar negara yang menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki ke negara ini.

"Kaedah yang akan digunakan adalah soal siasat dengan lebih mendalam terhadap mereka yang kerap masuk ke negara ini. Ia akan diadakan di pintu-pintu masuk negara.

"Namun, sebelum perkara ini dilaksanakan, ia perlu dikaji terlebih dahulu supaya 'genuine traveller' tidak teraniaya. Ada juga mereka yang kerap keluar masuk ke negara kita kerana mempunyai urusan perniagaan di sini. Setakat ini ia di peringkat perbincangan di jabatan.

"Cadangan ini juga perlu mendapatkan pertimbangan dan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika ia mahu dijadikan dasar baru,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, selain dua hotel di bahagian pulau, pihaknya juga menyerbu sebuah tapak pembinaan di Kampung Jawa, Perai, Seberang Perai Tengah.

"Di lokasi berasingan, kita memeriksa 137 warga asing dan menahan 50 daripada mereka kerana melakukan pelbagai kesalahan. Ketika operasi ini, ada seorang warga asing cuba melarikan diri melalui bumbung namun berjaya di pujuk dan akhirnya dia ditahan.

"Kebanyakan yang ditahan tidak mempunyai dokumen untuk bekerja secara sah. Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1965,” katanya.