SHAH ALAM - Seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini kerana meminta wang suapan berjumlah RM1.5 juta bagi menyelesaikan kes pengedaran dadah dua tahun lepas.
Tertuduh ASP Gan Chee Liang, 36, dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan, Chee Liang didakwa meminta rasuah sebanyak RM1.5 juta dari Victor Goh, 38, untuk diri sendiri sebagai seorang pegawai awam iaitu Penolong Penguasa Polis Diraja Malaysia sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes melibatkan Victor yang disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Chee Liang dituduh melakukan kesalahan itu pada 10 Mac 2017 di sebuah bilik di Lokap Berpusat Polis Shah Alam pada jam 11 pagi.
Chee Liang didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa SPRM, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar mencadangkan wang jaminan RM100,000 dengan dua penjamin.
Peguam Chong Kak Sen yang mewakili tertuduh memohon agar wang ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 berikutan anak guamnya telah diikat jamin sebanyak RM80,000 bagi semua empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas kes yang sama.
"Siasatan kes telah dijalankan sejak 2017 dan anak guam saya tidak pernah gagal melaporkan diri ke pejabat SPRM, saya percaya wang ikat jamin termasuk jaminan tambahan dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sudah mencukupi," katanya.
Hakim Rozilah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 29 April depan.
Semalam Chee Liang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.35 juta. -
Bernama