187 tadika, taska dan pusat jagaan warga emas tidak berdaftar di Pulau Pinang

Iklan
Chong Eng

GEORGETOWN - Sebanyak 86 buah tadika, 45 taska dan 56 pusat penjagaan warga emas didapati beroperasi tanpa lesen di negeri ini.

Bagaimanapun, sebanyak 123 buah taska, 461 buah tadika dan 28 pusat penjagaan warga emas yang sedang beroperasi kini mempunyai lesen yang sah.

Iklan
Iklan

Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita, Chong Eng berkata, pelbagai langkah telah diambil untuk membolehkan pengusaha memperoleh lesen antaranya menjalankan advokasi dan memberi khidmat nasihat kepada mereka.

Menurutnya, kerajaan negeri juga mengadakan taklimat serta sesi dialog bersama pengusaha bagi memberi penerangan berkaitan proses pendaftaran.

Iklan

"Kita juga menjalankan sesi konsultasi bagi mengenal pasti dan membantu pengusaha untuk berdaftar.

"Walaupun usaha ini dijalankan, masih ramai pengusaha yang tidak tampil untuk membolehkan mereka mendapat lesen," katanya ketika menjawab soalan lisan A Kumaresan (PKR- Batu Uban) mengenai jumlah taska, tadika dan pusat penjagaan warga emas yang didaftarkan di Pulau Pinang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Chong Eng (DAP-Padang Lalang) berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang (JKMNPP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sentiasa melakukan pemantauan secara berkala terhadap taska, tadika dan pusat penjagaan warga emas yang tidak berdaftar tersebut.

"Pemantauan ini bagi memastikan pengusaha segera mendaftarkan operasi mereka serta mematuhi akta, peraturan dan syarat yang ditetapkan dalam pengoperasian.

"Notis peringatan turut dikeluarkan kepada pengusaha yang tidak berdaftar. Di samping itu, JKMNPP turut memastikan penilaian kendiri dibuat oleh pengendali pusat penjagaan warga emas melalui sistem MyKendiri," katanya.

Mengulas mengenai usaha kerajaan negeri dalam memperbaiki perkhidmatan pusat jagaan, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukan RM300,000 setahun bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga 2023 bagi geran naik taraf taska dan pusat penjagaan kanak-kanak.

"Bagi suku tahun pertama tahun ini, kerajaan negeri telah meluluskan permohonan geran daripada 11 buah taska dan pusat penjagaan kanak-kanak dengan jumlah keseluruhan RM194,138.98.

"Geran ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan pengusaha dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka," katanya.