Pulangan lumayan tak dapat, pengurus syarikat insuran rugi RM688,500

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang pengurus syarikat insuran kerugian sebanyak RM688,500 selepas terpedaya dengan pulangan lumayan dalam pelaburan mata wang digital menerusi aplikasi media sosial pada Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, mangsa seorang wanita berusia 38 tahun tampil membuat laporan polis sebaik menyedari dirinya ditipu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa dipercayai terpedaya dengan janji pulangan lumayan dalam masa singkat setelah berkomunikasi dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp dan Instagram.

"Mangsa mengikut segala arahan individu terbabit yang memintanya memasukkan wang berjumlah RM688,500 dalam 10 akaun berbeza menerusi 19 transaksi antara 20 hingga 31 Mei lalu.

Iklan

"Wanita itu menyedari dirinya diitipu selepas tidak dapat menghubungi individu terbabit selain tidak menerima keuntungan lumayan seperti dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Amran berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut selain memeriksa kesemua butiran akaun bank yang digunakan dalam penipuan terbabit.

Iklan

"Hasil siasatan awal mendapati enam daripada 10 akaun bank tersebut pernah mempunyai rekod digunakan bagi lain-lain kes jenayah komersial di Johor dan seluruh negara.

"Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati serta tidak mudah terpedaya terutama dengan tawaran yang menjanjikan pulangan keuntungan lumayan dalam tempoh masa singkat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian seperti CCID Scam Response Centre dan CCID Infoline sekiranya mempunyai pertanyaan berhubung butiran jenayah komersial.