Rugi besar jika tak berkongsi kepakaran

Iklan
Dr Amalina Che Bakri & Fakhirah Khairuddin

KADAR penghijrahan individu berkemahiran tinggi atau brain drain menjadi topik hangat diperkatakan sejak dahulu lagi.

Ada yang menganggap isu itu remeh dan tidak merugikan sesiapa, namun jika lihat dari sudut lebih meluas, ia menjadi kegusaran terutama kepada industri profesional tempatan. Beberapa nama besar seperti Dr Amalina Che Bakri, Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal dan Fakhirah Khairuddin merupakan anak muda Malaysia yang kini berkhidmat di luar negara dalam bidang masing-masing.

Iklan
Iklan

Persoalannya, mengapa mereka lebih selesa berkhidmat di luar negara sedangkan Malaysia dahagakan kepakaran yang dimiliki mereka? Bukan menidakkan golongan profesional tempatan sedia ada, namun jika nama yang disebutkan itu menumpahkan bakti di negara tercinta, ia akan menjadi satu anjakan paradigma kepada industri profesional negara tatkala Malaysia sememangnya memerlukan kepakaran mereka.

Dr Amalina, antara doktor yang terlibat dalam pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada mulut seorang bayi, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di sebuah hospital di London, United Kingdom pada 2019. Kejayaan beliau membanggakan Malaysia.

Iklan

Dr Ahmad Syahid pula dikenali kerana berjaya mencipta konsep Nombor Fawzal (Fa) yang digunakan oleh pengeluar supercar dan hipercar terkemuka.

Satu daripada hasil ciptaan pakar dinamik bendalir haba itu juga telah digunakan dalam kereta Ferrari jenis SF90 Stradale. Beliau juga aktif menyumbangkan paten-paten berkaitan automotif dan alatan proses kimia khususnya pergerakan bendalir serta haba.

Iklan

Alangkah bagusnya jika beliau dapat berkongsi kepakaran dengan jenama automotif tempatan seperti Perodua atau Proton. Mungkin hasil kepakarannya itu akan membolehkan kereta jenama Malaysia akan lebih dikenali dunia kerana teknologi ‘super’ canggih yang digunakan.

Namun, tidaklah kita menyalahkan mereka kerana tidak ‘memberi’ kepada Malaysia. Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, selain melihat ketersediaan negara untuk menawarkan bidang luar kebiasaan itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penyelidikan EMIR Research, Dr Margarita Predaryenko menyenaraikan beberapa faktor mengapa golongan profesional bertindak meninggalkan negara dan memilih berkhidmat di negara asing, antaranya disebabkan pasaran kerja terhad, selain prospek kerjaya lebih baik dari segi kenaikan pangkat serta keluasan dan kedalaman pasaran kerja.

Jika keadaan itu tidak berubah, Malaysia tidak akan dapat membalikkan aliran brain drain. Perkara sama turut dikongsikan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan kepuasan bekerja dan tidak mahu diganggu elemen luar terutama orang politik menjadi penyumbang kepada brain drain.

Perkara itu katanya, boleh dilihat dalam perbicaraan kes mahkamah melibatkan tokoh-tokoh politik yang menggunakan golongan profesional untuk melakukan perkara menyalahi undang-undang.

Selain itu, beliau menjelaskan faktor gaji atau pendapatan lumayan yang ditawarkan sudah tentu menjadi penyebab golongan muda lebih berminat berkhidmat di luar negara, apatah lagi nilai ringgit merekodkan terus lemah berbanding mata wang lain.

Kelemahan nilai ringgit itu katanya menjadikan nilai atau kadar gaji semakin mengecil dari masa ke masa dan tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup.

Brain drain sudah tentu menyebabkan negara terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mengimport profesional perkhidmatan dan perundingan dari luar negara. Isu ketidakcukupan pekerja mahir atau profesional mengakibatkan matlamat kerajaan untuk membawa Malaysia menjadi negara maju bakal terjejas.

Secara tidak langsung, kekurangan kumpulan tenaga profesional dalam kalangan anak tempatan boleh memberi kesan kepada pembangunan masyarakat dan kualiti hidup seperti di negara maju.

Oleh itu, kerajaan perlu melakukan sesuatu atau sekurang-kurangnya kumpulkan pakar Malaysia di luar negara untuk bekerjasama dengan industri tempatan, selain menjadikan mereka sebagai ejen ilmu agar Malaysia setanding dengan negara maju yang lain.

* Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian