IPOH - Lebih 60 pembeli rumah di D'aman Residensi, Bandar Meru Raya di sini melahirkan kekecewaan berhubung kelewatan menyiapkan dua blok kediaman jenis apartmen 15 tingkat.
Lebih tiga tahun menunggu, pembeli merayu pihak pemaju dapat menyiapkan segera rumah pertama mereka berikutan tidak berupaya menanggung beban membayar balik pinjaman kewangan. Wakil Jawatankuasa Bertindak, Mohd Zulfadli Abd Khir berkata, pembeli sudah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju pada 2017 dan rumah dijanjikan disiapkan dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, sehingga kini blok G siap sekitar 92 peratus manakala blok H hanya 77 peratus sahaja."Dalam tempoh itu pemaju banyak kali berjanji dan kelewatan ini sebabkan negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pihak pemaju juga berjanji akan berusaha menyiapkan dengan menyerahkan kunci pada bulan ini dan Julai ini namun, melihat perkembangan projek tiada satu pun yang bergerak," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi di Kampung Manjoi di sini pada Rabu.
Mohd Zulfadli berkata, tiap bulan pembeli membayar hampir RM1,000 sejak tiga tahun lalu tanpa culas. Katanya, Jabatan Perumahan Negara turut memaklumkan projek berkenaan disahkan perumahan bermasalah, Ogos tahun lalu.
"Pada masa sama, pemilik tanah kini difahamkan telah berada di dalam proses penggulungan sukarela yang menjejaskan urusan pembayaran pemaju kepada kontraktor.
"Perkara ini bukanlah masalah kami sebenarnya dan kami menuntut hak sepatutnya.Kami menanggung beban dengan terpaksa bayar rumah sewa dan rumah ini belum masuk komitmen bulanan lain," katanya.
Sementara itu, ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata, suatu jalan penyelesaian boleh dicapai sekiranya suatu perbincangan diadakan melibatkan pemaju, pembeli dan lain-lain.
"Saya menghantar surat kepada pihak pemaju meminta satu pertemuan diadakan dengan beberapa pihak bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu ini."Namun respon yang diterima hanya menerangkan masalah yang dihadapi mereka selain alasan-alasan kelewatan dalam menyiapkan projek itu," katanya.
Beliau turut berpendapat nasihat perundangan yang diterima oleh pihak pemaju dan pemilik tanah kurang tepat berdasarkan respon yang diterima.
"Apa yang dinyatakan proses penggulungan sukarela tidak begitu berkaitan. Ini perjanjian antara pembeli dan pemaju jadi apa masalahnya. Tanah pun sudah dipindah milik.
"Lebih baik diadakan perbincangan dan diharapkan pihak pemaju dapat menunaikan hasrat kami agar isu ini dapat diselesaikan segera dan pembeli tidak terbeban lagi," katanya.