GEORGETOWN - Sebanyak 5,649 ekor kera dan 580 ekor babi hutan telah dilupuskan dari tahun 2019 hingga April tahun ini susulan 4,423 aduan diterima mengenai gangguan hidupan liar itu di Pulau Pinang.
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, 2,830 aduan melibatkan kera, 1,061 babi hutan dan 532 melibatkan spesies lain antaranya musang, biawak, buaya dan lotong.
Menurutnya,isu gangguan hidupan liar terutamanya kera dan babi hutan terus meningkat di negeri ini.
"Antara faktor yang menyebabkan peningkatan isu tersebut ialah kehilangan habitat hidupan liar, pembuangan sampah tidak teratur dan pembangunan atau tebus guna tanah yang tidak mengambil kira aspek hidupan liar.
"Selain itu faktor tanah terbiar yang tidak diusahakan, sikap segelintir pencinta hidupan liar turut menjadi punca masalah ini berlaku," katanya dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 di sini pada Khamis.
Tambahnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Pulau Pinang sedang melaksanakan Program Bersepadu bagi Pengurusan Konflik Manusia-Kera bagi menangani gangguan hidupan liar membabitkan 18 lokasi tumpuan.
"Selain itu, bagi tahun 2020 dan 2021 penambahan senjata api melibatkan dua laras senjata api jenis 'shotgun' dan dua laras rifle 0.22 bagi kegunaan kakitangan di lapangan turut dilaksanakan.
"Dalam pada itu, inovasi perangkap babi hutan dikenali sebagai SMART HOG Trap oleh syarikat swasta dapat membantu dan dilihat sebagai satu daripada kaedah berkesan untuk menangani aduan hidupan liar terutamanya babi hutan," katanya.