UKRAINE mendedikasikan kemenangan 3-1 ke atas Scotland dalam perlawanan separuh akhir playoff Piala Dunia Qatar 2022 di Hampden Park, kepada rakyat republik itu yang sedang berjuang menentang pencerobohan Rusia.
Malah pengendali Ukraine, Oleksandr Petrakov berkata, kemenangan itu juga lebih bermakna apabila menyaksikan pasukan tersebut buat pertama kali mengharungi aksi kompetitif 90 minit berintensiti tinggi sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari.
"Saya tidak mempunyai emosi, semua emosi ditinggalkan di atas padang. Kemenangan ini bukan untuk saya, bukan juga untuk pemain tetapi untuk negara Ukraine. Jadi, ia adalah kemenangan besar untuk bangsa Ukraine.
"Kemenangan ini juga adalah hasil usaha gigih dan kerjasama semangat berpasukan, para pemain yang memberikan segala-galanya untuk orang yang mereka sayang di Ukraine.
"Para pemain bermain untuk mereka yang menonton di rumah, untuk pasukan bersenjata di perbatasan, untuk mereka yang berada di hospital. Mereka mengucapkan terima kasih kepada kami dan kami membalas rasa terima kasih kepada mereka dalam bentuk kemenangan yang menakjubkan di bumi Scotland,” katanya.
Pada perlawanan itu, gol Ukraine dijaringkan Andriy Yarmolenko (33'), Roman Yaremchuk (49'), Artem Dovbyk (95') manakala gol Scotland dijaringkan oleh Callum McGregor (79').
Kemenangan di bumi Scotland itu menyaksikan anak buah Petrakov menempah slot menentang Wales dalam perlawanan akhir playoff di Stadium Millennium, Cardiff tengah malam Isnin.
Pengendali berusia 64 tahun itu, yang menghabiskan sebahagian besar karier kejurulatihannya mengetuai pasukan remaja Ukraine berkata, dia juga tidak mampu untuk memberikan sebarang penilaian terhadap prestasi para pemainnya pada perlawanan tersebut.
"Saya tidak mahu menganalisis permainan pada masa ini kerana saya masih berada dalam keletihan. Saya kosong dari segi analisis selepas melihat persembahan setiap para pemain.
"Tetapi apa yang pasti, para pemain tidak ragu-ragu tentang kepentingan kemenangan yang dicapai di hadapan lebih 2,000 para penyokong The Blue and Yellow yang hadir dari Ukraine.
"Kami bermain untuk mereka, untuk mereka yang bertarung dengan titisan darah terakhir mereka, untuk mereka yang menderita setiap hari, kami membuat langkah kecil ke arah matlamat besar pasukan,” katanya.