KPDNHEP gagalkan cubaan seleweng minyak masak bersubsidi

Iklan
Antara minyak masak yang disita oleh KPDNHEP Selangor dalam serbuan di Taman Sentosa, Klang pada Rabu. - Foto KPDNHEP Selangor

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berjaya mematahkan kegiatan haram membungkus semula minyak peket bersubsidi sekilogram (kg) bernilai sekitar RM27,628.25 di Taman Sentosa, di sini pada Rabu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, sebanyak 7,361kg minyak masak peket sekilogram dan sejumlah 776 botol minyak masak botol (1,562 liter) turut disita dalam serbuan hasil risikan pihaknya di sebuah premis tanpa nombor di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil risikan turut mendapati berlaku aktiviti memotong dan membungkus semula minyak masak bersubsidi peket sekilogram untuk dibotolkan semula bagi tujuan perniagaan serta mendapat keuntungan segera.

"Serbuan dibuat oleh enam penguat kuasa KPDNHEP Selangor ke atas premis dan menemui tiga lelaki warganegara Malaysia dipercayai seorang sebagai penyewa rumah serta dua orang disyaki pekerja.

Iklan

"Kesemua orang yang disiasat (OYD) berumur sekitar 25 hingga 41 tahun ditahan untuk diambil rakaman percakapan sebelum dibebaskan dengan jamin polis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Azman berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Katanya, pihak KPDNHEP Selangor komited membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan serta subsidi bagi memastikan keberadaan bekalan barangan tersebut di pasaran dapat dinikmati oleh pengguna di Selangor.

"Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya menegaskan pihaknya bertindak tegas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna," katanya.