SEMPORNA - Tindakan empat lelaki warga asing membuat pembelian petrol tanpa permit yang sah di sebuah stesen minyak membawa padah apabila ditahan polis dalam Ops Kontraban di sebuah stesen minyak di daerah ini pada Rabu.
Dalam operasi kira-kira jam 11.40 pagi itu, empat lelaki berusia antara 30 hingga 44 tahun itu ditahan oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek ditahan selepas dipercayai memiliki barang kawalan iaitu petrol yang bertujuan menyalahi undang-undang.
"Empat lelaki terbabit dilihat sedang leka mengisi minyak petrol ke dalam beberapa tong plastik di stesen minyak yang dipercayai memiliki barang kawalan iaitu petrol dengan tujuan menyalahi undang-undang.
"Turut dirampas tiga kereta sorong, 20 tong plastik berisi penuh dengan petrol dan 12 lagi tong kosong," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1,000 dan individu yang dipercayai melakukan kesalahan akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Pembelian petrol dan diesel menggunakan tong plastik perlu mendapatkan permit khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
"Pihak polis ingin menasihatkan kepada mana-mana pembeli yang ingin membuat pembelian petrol atau diesel dengan menggunakan tong perlu memohon permit khas daripada KPDNHEP," katanya.