Taman Rama-rama beri kesedaran kepupusan serangga

Iklan
Qurratu A'in menjunjukkan serangga spesies kumbang iaitu Kumbang Badak Tanduk Tiga yang semakin pupus di Malaysia.

MELAKA - Taman Rama-rama dan Reptilia di Ayer Keroh di sini giat menjalankan penyelidikan dan pembiakan bagi memastikan pelbagai spesies serangga di negara ini tidak mengalami kepupusan.

Pengurus taman berkenaan, Qurratu A'in Rohaminordin berkata, bagaimanapun usaha dan kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa kesedaran masyarakat mengenai kepentingan serangga dalam ekosistem kehidupan manusia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sesuai Hari Serangga akan disambut pada 8 Jun ini, pihaknya mengambil inisiatif menyediakan beberapa siri program selama sebulan bagi menghargai usaha pembiakan serangga.

"Pelbagai spesies serangga istimewa contohnya serangga ranting yang terberat dan terpanjang di dunia serta mentadak yang boleh menyerupai daun kering akan dipamerkan kepada pengunjung.

Iklan

"Orang ramai juga berpeluang mengikuti program seperti Mad Dragon, Super Ninja, Power of Rhinoceros, Venomous Creeper, Drama Hunter dan Amazing Groot.

"Bukan hanya interaksi bersama serangga, kami juga akan berkongsi rantaian makanan haiwan yang bergantung kepada serangga, termasuk tarantula dan katak," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Iklan
Dua kumbang yang akan dipamerkan sepanjang program sambutan Hari Serangga bermula Rabu depan di Taman Rama-rama dan Reptilia di Ayer Keroh.

Jelasnya, program itu dilaksanakan bagi melahirkan lebih ramai masyarakat yang sedar kepentingan dan usaha konservasi rama-rama serta serangga yang semakin pupus.

"Masyarakat seolah-olah terlepas pandang kumpulan serangga dan lebih menyedari kehadiran binatang besar seperti gajah dan harimau.

"Sedangkan serangga mempunyai peranannya termasuk sebagai ejen penguraian dan pendebungaan," katanya.

Qurratu A'in berkata, selain sebagai pusat penyelidikan serangga dan rama-rama, taman pendidikan itu juga menawarkan pakej menarik termasuk sesi memberi makan kepada buaya, pameran interaksi bersama cicak dan bergambar dengan ular.

"Kita berharap sempena Sambutan Hari Serangga dan cuti persekolahan, orang ramai tidak melepaskan peluang menerokai taman ini sebagai medium pendidikan dan menambahkan pengetahuan," katanya.

Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka merupakan taman zoologi swasta yang sudah beroperasi selama 31 tahun bermula 1 Februari 1991.