Cadangan jual rumah kepada kerajaan tak wajar: Gerakan

Iklan
Oh Tong Keong

GEORGETOWN - Cadangan agar rumah mampu milik perlu dijual semula oleh pemilik kepada kerajaan dilihat tidak wajar dilaksanakan.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, pihaknya membantah cadangan itu kerana kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan penjualan rumah oleh pemilik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan sepatutnya membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat dan bukannya membeli dari pemilik rumah.

"Penjualan aset tersebut perlu ditentukan oleh pasaran bebas. Cadangan yang dibuat kerajaan itu nyata tidak praktikal. Sepatutnya kerajaan membina lebih banyak rumah untuk memastikan bekalan rumah mampu milik sentiasa ada di pasaran.

Iklan

"Kerajaan perlu mengambil tanggungjawab untuk membina lebih banyak rumah mampu milik selaras dengan permintaan yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, campur tangan kerajaan dalam penjualan rumah kedua itu hanya akan dilihat sebagai penindasan dan ketidakadilan kepada pemilik rumah.

Iklan

"Harga rumah kedua sepatutnya ditentukan oleh pasaran atau ekonomi bebas, bukannya dikawal oleh kerajaan. Apa yang dapat dilihat, cadangan tersebut menunjukkan Kerajaan PH tidak memahami masalah sebenar membabitkan isu rumah mampu milik.

"Seperti di Pulau Pinang, rakyat terpaksa menempuh cabaran kerana tidak banyak rumah mampu milik ditawarkan pemaju atau kerajaan negeri sendiri. Ia berbeza dengan rumah mewah yang terus diluluskan," katanya.

Tambahnya, kebanyakan rakyat tidak mampu untuk membeli rumah dengan harga yang tinggi iaitu melebihi RM300,000.

"Saya tidak nampak cadangan itu bernas kerana tiada guna kerajaan campur tangan atau mengawal penjualan rumah tersebut jika harganya masih melebihi RM300,000.

"Rakyat tidak mampu untuk membeli rumah dengan harga setinggi itu tambahan pula dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan amat mencabar pada ketika ini.

"Dengan keadaan sekarang juga, rakyat perlu berdepan dengan keadaan kos sara hidup yang amat tinggi. Bagaimana mereka mahu beli jika rumah masih berharga lebih dari RM300,000?" katanya.

Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan rumah mampu milik dibina pada 2019 hanya boleh dijual semula kepada kementerian tersebut.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, peraturan baharu tersebut sedang diperhalusi untuk dimasukkan di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM).

Ahli Parlimen Ampang itu menegaskan, inisiatif itu bertujuan untuk mengawal harga rumah dan memastikan hanya golongan tidak berkemampuan menetap di rumah mampu milik bukannya mereka yang tidak layak.