BANGI - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah universiti pertama di negara ini yang menawarkan kursus kredit berkaitan integriti dan rasuah kepada pelajar ijazah pertama, kata Naib Canselor Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.
Beliau berkata kursus Integriti dan Rasuah UKM (LMCR3152) melibatkan 14 minggu pembelajaran dan satu minggu peperiksaan, serta membabitkan 120 pelajar bagi tahun ini. Menurutnya, kursus dua jam itu mula ditawarkan secara rintis pada Februari tahun lepas dan semester semasa adalah pelajar kohort ketiga dilaksanakan di bawah penyelarasan Pusat Citra Universiti.
"Kursus ini juga dibuka kepada warga UKM yang mana mereka boleh menggunakan poin untuk kenaikan pangkat dan Sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Ia diajar oleh pegawai-pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan mengambil 'case study' (kajian kes) kehakiman.
"Ramai minat mengambil kursus ini kerana seronok mendengar kes-kes tetapi tempat terhad. UKM sedang dalam perbincangan untuk membuka kursus ini setiap semester," katanya kepada pemberita selepas menandantangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) serta melancarkan Kursus Integriti dan Rasuah di sini hari ini.
Majlis menandatangani IBR UKM serta bacaan ikrar disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata jalinan kerjasama UKM dan SPRM dalam aspek pendidikan pencegahan rasuah telah bermula sejak 2007 lagi apabila Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Rasuah) diperkenalkan, dan program itu berjaya melahirkan seramai 111 orang graduan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri berkata tugas SPRM adalah untuk menyiasat dan mengemukakan bukti kepada Jabatan Peguam Negara berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Tugas SPRM adalah menyiasat. Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk menuduh (Najib). Tunggu bicara akan dijalankan tidak lama lagi. Ada bukti, tiada bukti, kes SRC akan berjalan dalam masa terdekat," katanya ketika ditanya pemberita mengenai kelewatan kes pertuduhan SRC dan sama ada SPRM tidak mempunyai bukti secukupnya untuk meneruskan pendakwaan itu.
Semalam, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengetepikan perintah penangguhan oleh Mahkamah Rayuan minggu lalu berhubung tujuh dakwaan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, yang difailkan Najib pada 8 Februari lepas.
Berikutan keputusan itu, kes itu dihantar semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tindakan seterusnya. -Bernama