Kekalkan tempo permainan, berikan aksi terbaik

Iklan
Pan-gon - Foto FAM

SKUAD Harimau Malaya diharap dapat mengekalkan tempo permainan selain memberikan aksi terbaik pada aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, minggu depan seperti dipamerkan pada aksi persahatan berdepan Hong Kong dan Brunei.

Menurut pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, kesebelasan pemain dilihat mempamerkan aksi yang berdisiplin, fokus, konsisten selain beraksi sebagai satu pasukan di sepanjang perlawanan bagi menghasilkan kemenangan berkenaan.

Iklan
Iklan

Justeru Pan-gon yakin, sekiranya aksi sedemikian diteruskan pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 nanti, skuad negara dilihat berpeluang untuk melakar kejayaan.

"Ya, saya memang gembira dengan aksi yang dipersembahkan pemain pada perlawanan ini dan saya yakin jika aksi sebegini diteruskan, ia akan menghasilkan ‘sesuatu.’

Iklan

"Bagaimanapun, kesemua aksi dipamerkan itu masih belum mencapai tahap seratus peratus, tetapi ia merupakan langkah kita dalam menyediakan pasukan yang mantap secara berperingkat.

"Oleh itu, setiap peringkat sangat penting untuk kita membawa pasukan ini maju ke hadapan dan sudah pasti inilah yang dimahukan oleh peminat bola sepak tempatan,” katanya pada Rabu.

Iklan

Untuk rekod, kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu merupakan kemenangan kedua skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan Tier 1, setelah menewaskan Brunei 4-0 di venue sama, 27 Mei lalu.

Kedua-dua aksi persahabatan berkenaan disifatkan sebagai aksi pemanas badan buat skuad Harimau Malaya bagi mengharungi aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil mulai 8 Jun hingga 14 Jun ini dimulai berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Mengulas mengenai beberapa pemain yang diturunkan pada posisi berbeza pada kedua-dua aksi berkenaan, Pan-gon berkata, dia sebenarnya mahu melihat potensi sebenar pemain skuad kendaliannya itu selain mahu melihat pemain-pemain berkenaan dapat memberikan aksi maksimum berdasarkan kemmapuan yang dimiliki.

Menurut Pan-gon, tindakannya melakukan sembilan pertukaran pemain pada perlawalnan berkenaan juga bertujuan untuk memberikan peluang lebih ramai pemain beraksi.

"Setiap perlawanan saya menurunkan pemain dengan bersebab; iaitu saya mahu melihat kemampuan yang mereka miliki bagi memastikan mereka dapat memberikan aksi yang terbaik nanti.

"Dalam soal ini, saya rasa kredit juga perlu diberikan kepada jurulatih kelab pemain-pemain ini yang telah melakukan tugas melatih dan menyediakan pemain-pemain ini untuk beraksi bersama skuad negara dan saya harap kerjasama ini akan berterusan,” katanya.

Sementara itu bagi mengulas mengenai insiden kekasaran melibatkan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan seorang pemain Hong Kong semalam, Pan-gon berkata, pihaknya juga akan cuba menasihati pemain agar mengawal emosi ketika beraksi.

Katanya, sebarang tindakan mungkin boleh menyebabkan pemain-pemain berkenaan menerima hukuman seperti dibuang padang dan perkara berkenaan jelas boleh menjejaskan rentak pasukan.

"Ya, saya melihat insiden itu..dan kita akan melihat perkara ini dan berharap kesemua pemain dapat mengawal emosi masing-masing ketika beraksi nanti,” katanya.