TUMPAT - Polis menumpaskan Geng Sedar yang aktif melakukan kegiatan mencuri kenderaan di sekitar jajahan ini selepas tertangkapnya lima remaja berusia antara 17 hingga 18 tahun.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, polis berjaya menahan salah seorang suspek sejurus menerima satu laporan berhubung kehilangan sebuah motosikal jenis EX5 di Kampung Paloh, Palekbang di sini pada jam 10 malam Selasa.
"Bertindak atas maklumat sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat telah menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di Kampung Sedar.
"Hasil soal siasat yang dilakukan ke atas suspek pertama telah membawa kepada penangkapan empat lagi remaja lain dipercayai turut terlibat dalam kegiatan tersebut," katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pendedahan oleh kesemua suspek membawa kepada rampasan tiga buah motosikal yang disembunyikan dalam tiga buah rumah berasingan milik suspek beserta komponen motosikal lain.
Amran berkata, tiga lagi rangka motosikal turut ditemukan di dalam tali air berdekatan kawasan rumah suspek.
"Hasil siasatan mendapati kesemua barangan kes dirampas mempunyai kaitan dengan kes kehilangan motosikal yang berlaku Mac dan Mei tahun ini," katanya.
Katanya, suspek direman di Mahkamah Majistret Tumpat empat hari mulai Khamis hingga Ahad untuk tindakan selanjutnya.
"Salah seorang daripada mereka yang berusia 18 tahun positif dadah dan kesemua tidak bersekolah.
"Siasatan masih diteruskan untuk mengesan pemilik dan rangkaian sindiket yang terlibat," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek yang terlibat merupakan rakan sekampung.
"Untuk makluman terdapat 23 kes kecurian motosikal dicatatkan dari Januari hingga Mei dan hampir setiap bulan ada kes kecurian motosikal berlaku.
"Dengan tumpasnya 'Geng Sedar' ini diharap dapat menyelesaikan kes yang berlaku," katanya.