PENGENDALI baharu Penang FC, Zainal Abidin Hassan memberi bayangan bakal merombak skuad Harimau Kumbang yang tumpas di tangan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 17 Mei lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata akan mempertimbangkan langkah berkenaan selepas mengadakan ‘post mortem’ dengan semua pihak termasuk pegawai teknikal, pengurus dan pemain bagi mengenal pasti sama ada kekalahan itu berpunca daripada pasukannya sendiri.
Iklan
Iklan
"Tindakan drastik bakal dibuat dan saya akan berbincang dengan pengurusan jika kemungkinan besar perlu buat perubahan pada senarai pemain, namun segalanya bergantung selepas saya buat 'post mortem' dan mendapat satu jawapan terhadap masalah sebenar pasukan," katanya pada Khamis.
Jelasnya, beliau tidak mahu menunggu terlalu lama mencari kelemahan yang dialami pasukan demi menyelamatkan Harimau Kumbang untuk saingan akan datang.
Zainal pada masa mengakui jangkaan semua pihak terhadapnya kali ini tinggi memandangkan skuad itu belum mencapai sebarang kemenangan sehingga menyebabkan mereka menghuni tangga tercorot di pentas Liga Super selepas lapan perlawanan.
"Belum ada kemenangan selepas lapan perlawanan dan berada di tempat terakhir, kemenangan pertama sudah pasti amat dinanti-nantikan oleh semua," katanya.
Zainal bakal membuat kemunculan kedua bersama Penang pada 18 Jun ini berdepan PJ City FC di Stadium Bandaraya selepas pernah mengendalikan pasukan itu pada pertengahan musim 2017 hingga 2018 sebelum mengemudi Melaka United FC.