KUALA TERENGGANU - Kegembiraan lapan rakan bermain air di Sungai Terengganu di Kampung Teluk Pasu di sini petang tadi, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.
Menurut seorang daripadanya Mohd Hafiz Zubir, 13, kejadian tersebut berlaku sekitar 5 petang apabila mereka termasuk mangsa Muhammad Izha Amzad Anuar, 14, sedang menolak sebuah tong fiber yang dijumpai, ke darat.
"Semasa kejadian empat daripada kami duduk di dalam tong dan selebihnya termasuk Muhammad Izha Amzad tolak tong itu. Namun tong tersebut terbalik dan ketika itulah Muhammad Izha Amzad bersama seorang lagi (Ahmad Syafiq al-Iman Mohammad, 14,) hampir lemas.
"Kami bersama orang awam cuba selamatkan mereka. Kawan seorang lagi sempat diselamatkan. Muhammad Izha Amzad ada berpaut pada seorang kawan tetapi dia terlepas dan hanyut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Khamis.
Mohd Hafiz berkata, Muhamad Izha Amzad yang berasal dari Kampung Kubang Jela di sini, tidak pandai berenang tetapi sangat teruja mengajak rakan-rakannya bermain air di situ.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Terengganu Muhammad Basri Kamarazaman berkata mayat mangsa ditemukan pada 7.15 malam.Beliau berkata mangsa dijumpai pada kedalaman 17 kaki di dasar sungai, berhampiran dengan tong fiber tersebut yang turut tenggelam.
"Operasi pencarian mangsa disertai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu termasuk empat anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air serta empat anggota polis.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama