KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam cadangan membina terowong penyimpanan air bawah tanah berkapasiti tinggi sebagai pelan jangka panjang mengatasi isu banjir kilat di ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, bagi tujuan itu, DBKL akan mengadakan kajian kebolehsanaan (feasibility study) untuk mengkaji lokasi dan spesifikasi terowong simpanan air hujan bawah tanah yang akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
Menurutnya, DBKL akan melantik perunding dalam kadar segera selepas mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kebanyakan bandar raya di dunia seperti Tokyo dan Itabashi di Jepun membina terowong di bawah jalan raya. Fungsinya adalah untuk menampung air banjir sebelum dilepaskan ke sungai ketika air surut.
"Jalan raya di sana luas manakala jalan raya di ibu kota sempit. Oleh itu, ada yang mencadangkan agar kita membinanya 120 kaki di bawah sungai," katanya pada sidang akhbar 'Ke arah Kuala Lumpur bebas banjir kilat' di Menara DBKL 1 pada Khamis.
Beliau berkata, DBKL turut akan membina tembok penahan banjir (flood wall) di kawasan berisiko berlaku limpahan sungai.
"Tembok ini akan dibina segera dan spesifikasinya akan disediakan berdasarkan kerjasama dengan JPS.
"Ketika ini, DBKL telah menempatkan beg pasir di kawasan terlibat limpahan air sungai sebagai langkah interim," katanya.
Pada masa sama katanya, kerja mengeluarkan mendapan atau kelodak di dalam kolam takungan banjir dan sungai akan dilakukan untuk memastikan dapat menampung kapasiti air hujan.