SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara gagal meraih sebarang mata pada aksi pembukaan Kumpulan C saingan Piala Asia B-23 apabila tumpas 1-4 kepada juara bertahan Korea Selatan di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan, sebentar tadi.
Justeru, tugas berat menanti skuad kendalian Brad Maloney itu apabila berdepan Thailand pada 5 Mei dan Vietnam (8 Mei), dalam usaha menempah slot ke pusingan seterusnya.
Kedua-dua pasukan bermula baik apabila dilihat saling berbalas serangan dalam usaha membuka jaringan, namun percubaan demi percubaan yang dilakukan ke pintu gol gagal menepati sasaran.
Bagaimanapun, Korea Selatan akhinya berjaya memecah kebuntuan apabila Lee Sang Min menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan sudut pada minit ke-31.
Tersentak dengan gol berkenaan, skuad kendalian Brad Maloney itu dilihat cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun gagal menembusi benteng pertahanan Korea Selatan hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Korea Selatan tidak perlu menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Kim Tae Hwan merembat masuk gol kedua pada minit ke-48.
Ketinggalan dua gol bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat skuad B-23 negara apabila dilihat kembali mengatur asakan bagi merapatkan jurang gol.
Peluang terbaik skuad negara untuk menjaringkan gol tiba tiga minit selepas itu menerusi kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi, namun percubaan yang dilakukannya gagal menepati sasaran.
Korea Selatan kemudiannya semakin mengasak hebat ke pintu gol skuad negara dalam usaha menambah jaringan, namun berjaya dikekang benteng pertahanan selain penjaga gol, Rahadiazli Rahalim berjaya menyelamatkan beberapa percubaan yang dilakukan jentera serangan Korea Selatan.
Skuad B-23 negara akhirnya berjaya merapatkan jurang gol hasil jaringan Mukhairi Ajmal yang memanfaatkan lorongan cantik dari tengah padang sebelum tenang merembat leret untuk gol pertama skuad negara.
Gol itu nyata menyemarakkan semangat kesebelasan skuad Harimau Muda itu untuk terus mengasak ke pintu gol Korea Selatan bagi menambah jaringan.
Bagaimanapun, dalam keghairahan mengasak ke pintu gol lawan, benteng pertahanan negara pula mudah dibolosi jentera serangan Korea Selatan dan penyerang, Cho Young Wook merembat leret menewaskan Rahadi untuk gol ketiga pasukannya pada minit ke-89.
Pada masa kecederaan, Young Wook sekali lagi berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan skuad negara, sebelum merembat deras untuk gol keempat Korea Selatan dan sekali gus memastikan tiga mata berjaya diraih pada aksi pembukaan Kumpulan C, kali ini.