MXKids pentas cungkil pelapis

Iklan
Kejuaraan MXKids Series 2022 yang membuka tirai pada Februari lepas merupakan medan bagi mencari pelapis dan mencungkil bakat muda dalam industri pemotoran tersebut. - Gambar hiasan

TIDAK mahu ketinggalan dalam pembangunan sukan motocross, Kejuaraan MXKids Funrace (MXKids) Series 2022 yang membuka tirai pada Februari lepas merupakan medan bagi mencari pelapis dan mencungkil bakat muda dalam industri pemotoran tersebut.

Pengarah program MXKids Malaysia Fazril Ahmad Zabidi berkata, perlumbaan itu diadakan setelah melihat kepada perkembangan sukan permotoran kanak-kanak yang kurang di Malaysia berbanding negara-negara lain.

Iklan
Iklan

"Seperti kita tahu motocross di negara ini agak ketinggalan 10 hingga 12 tahun dari negara lain seperti Thailand dan Indonesia, banyaknya program yang ada sebelum ini lebih kepada hobi dan bukan championship.

"Jadi kita rasa rugi apabila negara tak ada pembangunan dalam sukan ini, maka kejuaraan ini merupakan pembangunan sukan motocross khas untuk kanak-kanak,” katanya pada Khamis.

Iklan

Fazril berkata, jika sebelum ini sukan motocross kanak-kanak hanya menjadi pelengkap setiap kejohanan, namun perlumbaan yang bakal dianjurkan kali ini menyaksikan saingan pelbagai kategori khas buat penunggang cilik berumur 6 hingga 16 tahun.

Jelasnya, perlumbaan berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu Rookie dan Advance, dengan Rookie khusus bagi kanak-kanak baharu menceburi dunia pemotoran manakala Advance adalah bagi yang telah mahir.

Iklan

"Semua kapasiti ini memang atas perkembangan apabila semua pelumba dapat medal untuk beri mereka keseronokan dan untuk mereka yang berada di tangga kelima dan ke atas, akan dibawa untuk menyertai Master Series. Mungkin mereka boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

"Kita punya sasaran dalam lima tahun akan datang, motocross kanak-kanak di negara ini boleh sertai kejohanan antarabangsa dengan Indonesia dan Thailand,” katanya.

Lebih mengujakan, pusingan kedua MXKids di Track Motocross Bandar Tun Razak, Pahang, akan membuka tirai pada Sabtu dan Ahad ini dengan kerjasama Fattah Motorsports, KTM Malaysia dan AMSOIL yang membawa Klinik Menunggang Motocross Kadet dengan pelumba cilik didedahkan teknik kawalan pemanduan jentera dua roda sebagai persediaan perlumbaan.

MXKids pusingan pertama sebelum ini diadakan pada 26 hingga 27 Februari lalu, melibatkan lima lokasi di Semenanjung bermula di Track Motorcross Ulu Yam, Selangor.

Fazril pada masa sama memaklumkan pihaknya kini dalam perancangan untuk mewujudkan persatuan sukan motocross khas buat kanak-kanak yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk masa depan sukan berkenaan. - Bernama