MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini menjelaskan bahawa Malaysia dijangka perlu menampung subsidi lebih tinggi bagi 2022 yang mencecah RM71 bilion.
Katanya, bagi subsidi bahan api sahaja ia berjumlah RM30 bilion susulan kenaikan harga minyak mentah dunia.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan berminat mengembalikan cukai berkenaan kerana mahu mengembangkan asas pendapatan dan menanggung beban subsidi awam.
Malah idea mengembalikan GST turut disokong oleh Bank Negara (BNM) yang menyatakan bahawa dengan berbuat demikian ia akan meringankan beban kewangan ditanggung kerajaan.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah meningkatkan harga bahan api dan barang keperluan makanan import. Ia sekali gus turut menjejaskan kewangan kerajaan selain meningkatkan keperluan bagi menambah pendapatan.
Bagi melaksanakan semula cukai berkenaan, ia perlu ditambah baik terutama daripada sudut tadbir urus dan ketelusan.
Beberapa isu yang pernah timbul sebelum ini seperti kredit cukai input yang lambat dipulangkan kepada peniaga diperlu diperbaiki agar pelaksanaan kali kedua tidak berdepan perkara sama.
Banyak negara telah melaksanakan GST dan terbukti mampu menambah pendapatan kepada kerajaan yang kemudiannya dinikmati rakyat.
Selain itu, kerajaan perlu mengambil kira waktu yang sesuai bagi melaksanakan semula cukai itu termasuklah ketika inflasi rendah, pertumbuhan gaji mampan dan pendapatan rakyat meningkat bagi menampung kos sara hidup.
Kerajaan juga perlu mengkaji jumlah cukai yang ingin ditetapkan dan mungkin lebih rendah berbanding enam peratus di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada masa ini.
Pelaksanaan GST bakal memberi kesan kepada rakyat yang perlu membayar lebih setiap kali mengeluarkan wang mereka untuk memberi barang dan perkhidmatan dengan harga yang mahal.
Oleh itu, pengagihan hasil kutipan GST ini perlu sampai kepada rakyat dengan baik berdasarkan kepada lapisan pendapatan mereka.