BEKAS penyerang sensasi Liverpool, Dirk Kuyt dilantik pengendali baharu ADO Den Haag, dengan tanggungjawab memastikan kelab Eerste Divisie itu kembali ke Eredivisie, liga utama Belanda selepas terlepas perlawanan playoff pada hujung minggu lalu.
Kuyt adalah pengendali kelima dalam tiga tahun untuk De Residentieclub itu, tersingkir musim lalu, dan mengambil peranan pengurusan senior pertamanya selepas melatih skuad Bawah 19 tahun Feyenoord sebelum ini.
Iklan
Iklan
"Tidak lama selepas karier bermain saya berakhir, adalah menjadi cita-cita saya menjadi jurulatih. Saya telah melabur dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kini peluang ini tmuncul dengan sendirinya,” kata bekas pemain antarabangsa Belanda berusia 41 tahun tersebut.
Pada masa sama, Kuyt menyatakan keazamannya adalah untuk membawa kelab yang mengakhiri cabaran di kedudukan keempat Eerste Divisie musim lalu kembali ke pentas Eredivisie.
"Itu matlamat yang serius, tetapi saya menyukainya. ADO adalah gergasi yang sedang tidur, ia sangat menarik saya untuk bermula sebagai jurulatih di sana dan untuk berkembang. Saya melihatnya sebagai cabaran besar untuk membawa ADO kembali ke tempat yang sepatutnya," katanya.
Untuk rekod, Den Haag tewas menerusi sepakan penalti selepas seri 4-4 dengan Excelsior Rotterdam dalam perlawanan playoff pada Ahad.
Kuyt sepanjang menyarung jersi Liverpool telah bermain lebih daripada 200 perlawanan, turut memenangi kejuaraan liga Turki di Fenerbahce, memiliki 104 kap untuk Belanda, bermain di Piala Dunia pada 2006, 2010 dan 2014.