Jangan mudah beri gelaran ikon

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal ketika mengadakan pertemuannya dengan seorang TikTokers dikenali sebagai Haqiem Stopa yang dikatakan terkenal dalam kalangan anak muda. - Foto Facebook Wan Ahmad Fayhsal

BARU-baru ini tular perkongsian Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal mengenai pertemuannya dengan seorang TikTokers dikenali sebagai Haqiem Stopa yang dikatakan terkenal dalam kalangan anak muda.

Apa yang menarik tentang perkongsian itu ialah ruang komen Facebook milik Wan Ahmad Fayhsal ‘diserang’ netizen susulan hantaran yang dimuat naik itu menyebut Haqiem sebagai ikon permotoran belia.

Iklan
Iklan

Perdebatan berlaku kerana pengguna media sosial mempersoalkan sumbangan individu terbabit kepada sukan permotoran dan juga anak muda di negara ini sehingga digelar sebagai ikon.

Apa yang menghairankan ialah mengapa individu seperti Hafizh Syarin yang pernah mengharumkan negara di pentas antarabangsa tidak dijadikan ikon permotoran anak muda.

Iklan

Merak Jalanan cukup keliru dengan pendekatan Timbalan Menteri Perpaduan yang mengangkat individu ini untuk menjadi contoh kepada anak muda.

Bukankah sepatutnya gelaran ikon yang diberikan kepada seseorang itu selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuklah peranan dalam bidang yang diceburi, sumbangan dan adakah ia memberi inspirasi kepada orang lain?

Iklan

Persoalan ini sepatutnya menjadi kriteria utama yang perlu diambil kira oleh Timbalan Menteri Perpaduan sebelum beliau secara terbuka mengangkat mana-mana individu sebagai ikon yang menjadi ikutan ramai.

Benar sukan itu menyatukan rakyat daripada pelbagai lapisan bangsa di negara ini tetapi adakah apa yang dilakukan oleh Haqiem itu sendiri bagus untuk menjadi ikutan anak-anak muda di negara ini.

Mungkin tidak keterlaluan jika ada yang mendakwa situasi yang berlaku sekarang seolah-olah menggalakkan lebih ramai anak muda melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang jalan raya.

Bagi Merak Jalanan, jika pun mahu menarik sokongan anak muda terutama daripada platform baharu media sosial, cari individu yang benar-benar layak untuk menjadi pembimbing dan contoh.