Perlu belajar lagi

Iklan
Skuad Speedy Tigers mengakhiri saingan Piala Asia 2022 selaku naib juara.

SKUAD hoki lelaki senior negara yang terkenal dengan gelaran The Speedy Tigers masih dalam proses pembelajaran untuk bergelar juara di pentas Asia.

Itu rumusan pengendali negara, Arul Selvaraj selepas barisan skuad kendaliannya tumbang di tangan Korea Selatan dalam aksi final Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya saya sangat berpuas hati dari segi kebertanggungjawaban setiap pemain. Pujian harus diberikan selepas mereka memberikan segala-galanya ketika menentang Korea Selatan.

"Bagi saya, kekalahan kepada Korea Selatan hari ini seharusnya menjadi satu lagi proses pembelajaran kepada para pemain bagaimana memenangi sesuatu kejuaraan.

Iklan

"Sememangnya memenangi perlawanan bagus, namun lebih penting cara bagaimana mahu memenangi kejuaraan yang menjadi aksi terakhir dalam setiap kejohanan,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Hasrat Speedy Tigers untuk bergelar juara Asia buat kali pertama tidak kesampaian apabila mereka terpaksa tewas 1-2 kepada Korea Selatan di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.

Iklan

Gol kemenangan Korea Selatan menerusi jaringan padang Hwang Taeil pada minit ke-52 menafikan hajat Malaysia muncul juara pada edisi kali ini.

Sebelum itu, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan berjaya memadam gol pembukaan Korea Selatan yang dihasilkan Jung Manjae pada minit ke-17.

"Serangan balas dilakukan Korea Selatan berjaya menghasilkan gol kemenangan selain mereka bermain dengan baik untuk menghalang serangan pasukan negara termasuklah ketika pukulan sudut penalti.

"Sejujurnya apa yang mengecewakan adalah kita hanya ‘one meter too far, one second too slow’ kerana itulah yang menentukan perlawanan malam ini,” jelas Arul.

Untuk rekod, sepanjang penyertaan pada Piala Asia, Speedy Tigers meraih kedudukan keempat ketika edisi Karachi 1982; kelima Dhaka 1985; keenam New Delhi 1989; keempat Hiroshima 1994 dan keempat Kuala Lumpur 1999.

Edisi Kuala Lumpur 2003 menyaksikan Malaysia menghuni tempat kelima diikuti ketiga Chennai 2007; keempat Kuantan 2009; keempat Ipoh 2013 dan naib juara Dhaka 2017.