Lima kubur berusia 96 tahun dialih mengikut syarak

Iklan
Forensik HTAA menjalankan kerja-kerja pengalihan jenazah yang dikemukakan di kawasan berbukit di Kampung Aur untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur Bukit Ibam. (Gambar kecil dari kiri: Roszawati, Ariffin, Mohd Tab)

ROMPIN - Lima kubur lama berusia 96 tahun yang ditanam di atas bukit di kampung Aur, Bukit Ibam dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur di sini.

Pengalihan kubur dilaksanakan Jabatan Agama Islam Muadzam Shah dan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas mendapat kebenaran daripada Pejabat Mufti Pahang pada penghujung bulan Mei lalu.

Iklan
Iklan

Kadi Muadzam Shah, Bunyamin Abd Ghani berkata, kerja pengalihan kubur dilakukan selepas menerima permohonan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan terbabit yang pembinaan jalan dan jambatan itu akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Bunyamin

"Setelah mengenal pasti terdapat lima unit kubur berada di lokasi pembinaan jalan dan jambatan baharu kampung terbabit dan dikatakan jenazah ini dikebumikan itu sekitar tahun 1926. Proses begini adalah perkara biasa jika jenazah tidak dikebumikan di tanah perkuburan rasmi orang Islam.

Iklan

"Bila ada keperluan (alihkan kubur) kita perlu minta kebenaran Pejabat Mufti Pahang dari segi hukum syarak dan prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi urusan pemindahan tanah kubur lama ini," katanya ketika ditemui di Kampung Aur, Bukit Ibam di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kebenaran daripada waris juga diperlukan bagi memastikan kerja pengalihan jenazah dapat dilakukan dengan sebaiknya.

Iklan

"Kita juga mendapat kerjasama daripada semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datin Shamsiah Arshad

"Unit Forensik HTAA Kuantan di mana ia turut dihadiri Timbalan Mufti Pahang, Datuk Abdul Zaki Md Zain dan penduduk setempat hadir sepanjang proses terbabit," ujarnya

Salah seorang waris dari lima kubur yang ditanam di sebuah kawasan berbukit terasing dari tanah perkuburan Kampung Aur, Bukit Ibam, Roszawati Mohamad, 44, mengakui lega apabila kubur arwah neneknya kini dipindahkan ke tempat sepatutnya.

Katanya, arwah neneknya, Mehran Diram dikebumikan di tempat lebih tinggi disebabkan banjir besar melanda kampung terbabit sekitar tahun 1926.

Dua individu membawa jenazah untuk dipindahkan dan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur, Bukit Ibam di sini.

"Menurut cerita abang, nenek saya meninggal dunia ketika banjir besar pada ketika itu kami mengambil keputusan untuk kebumikan jenazah nenek di tempat yang tidak ditenggelami.

"Sejak dari itu, selama 96 tahun kubur nenek berada di lokasi berkenaan dan saya tidak pernah lupa untuk menziarahi kubur itu walaupun ditanam secara terasing di kawasan lain," jelasnya.

Roszawati dalam masa sama berasa lega kerana tindakan menanda dan memelihara kubur arwah neneknya itu dapat memudahkan urusan sekiranya kawasan itu akan dibangunkan suatu hari nanti.

"Saya dapat tahu kawasan kubur arwah nenek ini akan dibangunkan bagi tujuan pelebaran jalan dan pembinaan jambatan Kampung Aur, jadi tanpa berlengah lagi kami sekeluarga bersetuju untuk kubur arwah nenek dipindahkan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur.

"Lega juga sebab kubur nenek bertanda dan ia memudahkan urusan semua pihak yang terlibat untuk mengenal pasti, menggali dan mengalih jenazah arwah nenek ke tempat baharu,” katanya.

Forensik HTAA menjalankan kerja-kerja pencarian rangka jenazah untuk dipindahkan.

Selain kubur nenek Roszawati, terdapat empat lagi jenazah yang dikenal pasti ditanam di kawasan berhampiran kubur terbabit di mana salah satunya adalah milik adik salah seorang waris iaitu Ariffin Tahir, 73.

Ariffin turut melahirkan rasa syukur dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mengalih kubur-kubur lama milik ahli keluarganya ke tempat yang lebih baik.

"Ia satu usaha yang sangat baik dan saya mewakili ahli keluarga merakamkan ucapan terima kasih atas usaha yang dilakukan ini,” katanya.

Bagi Mohd Tab Talib, 64, juga bersyukur kerana dapat mengesan kubur arwah kakaknya setelah pihak berkaitan mencari waris kubur lama di kawasan berbukit itu

Dia tidak mengetahui kakaknya dikebumikan situ kerana masih kecil dan pengalihan kubur lama ini membawa kepada penemuan itu.

"Lepas ini ada tempat untuk adik- beradik hendak tuju untuk membersihkan rumah (kubur) kakak saya dan berharap semua berjalan lancar," jelasnya.