Jumlah mangsa banjir menurun di Kuala Muda

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 2 Jun 2022

ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di daerah Kuala Muda menurun kepada 619 orang membabitkan 149 keluarga berbanding 910 orang daripada 210 keluarga.

Iklan
Iklan

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad, satu pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup pada jam 8.30 pagi Jumaat iaitu Surau Kampung Sungai Bongkok apabila 291 orang mangsa daripada 70 keluarga pulang ke rumah masing-masing.

Beliau memberitahu, sebuah lagi PPS bagaimanapun masih beroperasi dengan menempatkan 619 mangsa membabitkan 149 keluarga di PPS Masjid Pekan Gurun.

Iklan

"Antara kawasan terjejas di mukim Gurun ialah Kampung Sungai Ibor, Kampung Belakang Mahkamah Gurun, Kampung Jelatang, Kampung Batu 5, Kampung Sungai Bongkok dan Kampung Kepala Bukit.

"Selain itu, hujan lebat selama tiga jam, turut memberi kesan kepada Kampung Batu 21, Kampung Masjid Lama Pekan Atap, Kampung Pulau Cengal, Taman Gurun Jaya, Taman Gurun Indah serta Taman Sri Jerai,"katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau menjelaskan hujan lebat lebih tiga jam di daerah Kuala Muda pada Khamis menyebabkan berlaku kejadian banjir di kawasan itu.

"Susulan itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah membantu mangsa dengan memindahkan barang ke tempat tinggi,"katanya.

Tambah beliau, antara tindakan diambil ialah mengenal pasti punca kejadian, mengambil maklumat mangsa dan menasihatkan mereka buat laporan polis.

Menurut Azahar, punca banjir berkenaan disebabkan masalah sistem perparitan dan paras air sungai berdekatan meningkat, namun banjir telah surut sepenuhnya setakat jam 8.30 pagi Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Mukim Gurun bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan lebat lebih tiga jam di Daerah Kuala Muda pada pagi Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, jumlah mangsa sebenar yang terlibat dalam pemindahan tersebut bagaimanapun masih belum diperoleh.